KOTA BHARU – Dewan Ulamak Pas Kelantan selesai melakukan penilaian terhadap prestasi calon-calon, termasuk dalam kalangan wakil rakyat dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) pada bila-bila masa.
Ketua Dewan Ulamak Pas Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, calon-calon disaring berdasarkan prestasi mereka dalam khidmat kepada rakyat dan nasihat diberikan bagi memperbaiki kelemahan sebelum PRU.
“Setiap calon diperiksa dari segi perkhidmatan kepada rakyat. Sekiranya ada kekurangan, mereka diberi panduan untuk memperbaiki diri.
“Ini sebahagian daripada persiapan menghadapi pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar selepas Penutupan Bengkel Koperasi Pertanian al-Falah di Desa Gemalai Baruh Padi Alami di Lubok Jambu di sini pada Ahad.
**media[3482461]**
Beliau menekankan bahawa calon yang dicadangkan bukan sahaja ulama, tetapi juga profesional dan teknokrat bagi memastikan pentadbiran negeri Kelantan sentiasa stabil serta selaras dengan prinsip Islam.
“Kelantan mengekalkan pendekatan meletakkan calon yang membangun bersama Islam. Persiapan sentiasa dibuat dengan teliti, jadi tiada sebab untuk bimbang,” katanya lagi.
Tuan Mohd Saripudin turut menegaskan bahawa penapisan calon bukan sekadar untuk PRU seterusnya, tetapi juga sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan setiap pemimpin parti memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Persiapan ini dijalankan setiap hari, bukan hanya menjelang pilihan raya. Ia memastikan calon yang diketengahkan benar-benar layak dari segi kepimpinan, integriti dan kesediaan menghadapi cabaran pentadbiran,” katanya.

