
ABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sering digambarkan sebagai agensi yang mempunyai keupayaan penguatkuasaan kukuh. Namun, kewujudan sindiket antarabangsa yang masih berjaya menyeludup keluar hidupan liar Malaysia menunjukkan cabaran perlindungan spesies negara masih jauh daripada selesai.
Setiap tangkapan yang berjaya dilakukan sering dipaparkan sebagai pencapaian penting jabatan berkenaan. Antaranya termasuk rampasan seekor burung Helang Bahu Hitam bernilai RM100,000 dalam satu serbuan di Taman Sungai Kapar Indah, Kapar, Selangor.
Operasi tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama antara Pasukan Gerakan Am (Cawangan Perisikan) dan Perhilitan Selangor melalui Op Bersepadu Khazanah. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Namun, di sebalik kejayaan sesuatu operasi, persoalan lebih besar masih belum terjawab. Adakah tindakan penguatkuasaan yang dilakukan benar-benar menyasarkan rangkaian utama perdagangan hidupan liar atau sekadar menumpukan kepada pelaku kecil yang berada di peringkat bawahan?
Pelbagai kes yang dilaporkan media menunjukkan usaha membanteras penyeludupan hidupan liar terus berjalan. Pada masa sama, terdapat juga rungutan daripada pengusaha kedai haiwan peliharaan sah serta penternak haiwan eksotik berlesen yang mendakwa berdepan tindakan tegas daripada agensi berkaitan.
Walaupun isu tersebut tidak sering mendapat liputan media arus perdana, namun perbincangannya semakin meluas di platform media sosial. Bahkan, sebahagian pemain industri yang mematuhi peraturan melahirkan kekecewaan apabila tindakan penguatkuasaan dilihat tidak membezakan antara pengusaha sah dengan pihak yang menjalankan aktiviti haram.
Dalam konteks ini, kejayaan sesuatu serbuan tidak boleh dijadikan ukuran tunggal keberkesanan penguatkuasaan. Sebaliknya, perhatian perlu diberikan kepada keupayaan membongkar rangkaian sindiket yang lebih besar, termasuk dalang yang mengawal perdagangan hidupan liar merentasi sempadan.
Di bawah Belanjawan 2026, NRES menerima peruntukan RM2.38 bilion. Daripada jumlah itu, RM250 juta diperuntukkan untuk Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT), manakala RM50 juta disalurkan kepada kerajaan negeri. Kerajaan turut menyediakan RM80 juta bagi pengambilan 2,500 renjer komuniti.
Jumlah besar tersebut menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pemeliharaan alam sekitar dan perlindungan biodiversiti. Namun, setiap peruntukan yang menggunakan wang rakyat perlu diterjemahkan kepada hasil yang jelas. Penguatkuasaan tidak boleh sekadar menumpukan kepada kes mudah, sedangkan rangkaian penyeludupan antarabangsa terus mencari ruang.
Hakikat yang sukar dinafikan ialah Malaysia masih menjadi negara sumber dan transit penting dalam perdagangan hidupan liar haram. Kedudukan geografi, jaringan pengangkutan moden serta hubungan perdagangan antarabangsa menjadikan negara ini sasaran sindiket rentas sempadan.
Menurut Pengarah Traffic Asia Tenggara, K. Kanitha, Malaysia bukan sahaja menjadi negara sumber, malah turut berperanan sebagai hab transit bagi perdagangan hidupan liar. Cabaran utama ialah dalang utama sering sukar dikesan, apatah lagi dibawa ke muka pengadilan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan jumlah penumpang tinggi serta jaringan penerbangan antarabangsa yang luas, menjadi antara lokasi berisiko dieksploitasi sindiket.
Selain laluan udara, sektor maritim turut berdepan cabaran besar. Pelabuhan Klang yang menjadi antara pelabuhan utama dunia mempunyai jumlah pergerakan kargo yang tinggi, sekali gus membuka ruang kepada penyeludupan hidupan liar dalam skala besar.
Sindiket semakin bijak menyembunyikan kegiatan mereka dengan mencampurkan barangan haram bersama penghantaran lain seperti produk haiwan eksotik, termasuk sisik tenggiling, gading gajah dan sumbu badak.
Selain faktor logistik, struktur pengurusan hidupan liar negara juga memerlukan penambahbaikan. Perhilitan hanya mempunyai bidang kuasa di Semenanjung Malaysia, manakala Sarawak menguruskan perlindungan hidupan liar melalui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Sabah melalui Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Pembahagian kuasa antara beberapa agensi negeri dan persekutuan boleh menimbulkan cabaran dari segi penyelarasan, pertukaran maklumat serta operasi rentas sempadan.

Pada masa sama, sindiket turut mengubah strategi dengan menggunakan platform digital bagi mencari pembeli.
Perdagangan hidupan liar kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada rangkaian fizikal, sebaliknya bergerak melalui ruang maya yang lebih sukar dikesan.
Keadaan ini memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang lebih moden, termasuk penggunaan teknologi risikan digital, perkongsian data antara agensi serta kerjasama antarabangsa.
Beberapa kontroversi sebelum ini turut menimbulkan persoalan mengenai proses pengurusan hidupan liar negara. Antaranya termasuk isu pelupusan monyet lutung kokah di Port Dickson pada 2021 apabila Mahkamah Rayuan memutuskan tindakan Perhilitan sebagai tidak munasabah dan menyalahi undang-undang.
Kes melibatkan pemindahan tiga ekor gajah, Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun turut mendapat perhatian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menjalankan siasatan.
Kes-kes sebegini menunjukkan keperluan kepada ketelusan lebih tinggi dalam setiap keputusan melibatkan hidupan liar, terutama apabila melibatkan spesies bernilai tinggi dan mempunyai kepentingan pemuliharaan.
Justeru, tindakan SPRM meneliti isu berkaitan pengurusan hidupan liar perlu dilihat sebagai peluang memperkukuh integriti sektor tersebut, bukan sekadar mencari kelemahan individu.
Perlindungan hidupan liar bukan hanya bergantung kepada jumlah tangkapan atau nilai rampasan. Ukuran sebenar kejayaan terletak pada kemampuan negara memutuskan rangkaian sindiket, memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara adil serta melindungi khazanah alam untuk generasi akan datang.
Malaysia mempunyai kepakaran, sumber dan peruntukan untuk menjadi peneraju pemuliharaan biodiversiti. Namun, tanpa pembaharuan penguatkuasaan dan tadbir urus, pastinya kejayaan operasi yang dipaparkan hanya akan menjadi sebahagian daripada cerita, sedangkan ancaman sebenar masih bergerak di belakang tabir. –UTUSAN
PENULIS ialah wartawan bebas.
The post Di mana kelompongan penguatkuasaan dalam sindiket hidupan liar? appeared first on Utusan Malaysia.






