LLM, LPT2 dan Perhilitan diarah cari penyelesaian segera

LocalEnvironment
5 Aug 2026 • 5:33 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LLM, LPT2 dan Perhilitan diarah cari penyelesaian segera

PETALING JAYA – Lembaga Lebuh Raya (LLM) diarah mengadakan perbincangan bersama pihak konsensi Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), esok.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi mencari penyelesaian jangka panjang susulan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan dan sekumpulan gajah di KM274.6 arah utara LPT2, berhampiran laluan Cheneh-Chukai, malam tadi.

Beliau berkata, pihak LPT2 juga diarahkan mengambil langkah serta-merta meningkatkan frekuensi rondaan terutama pada waktu malam di lokasi berisiko.

“Kawasan terbabit dilengkapi pagar keselamatan bagi menghalang kemasukan hidupan liar ke jajaran lebuh raya, namun terdapat bahagian dirobohkan dipercayai akibat rempuhan kawanan gajah.

“Saya telah mengarahkan syarikat konsesi LPT2 bertindak segera membaik pulih pagar yang rosak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kerja-kerja pembaikan itu akan bermula selewat-lewatnya esok.

“Pasukan teknikal telah berada di tapak bagi menilai tahap kerosakan dan menyelaras pelaksanaan kerja pembaikan dengan kadar segera.

“Penambahbaikan pencahayaan di lokasi berisiko juga perlu, termasuk skop projek pemasangan lampu diod pemancar cahaya, diteliti dari sudut teknikal dan keperluan pelaksanaannya di sepanjang kawasan terlibat,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya, malah berkait rapat dengan pengurusan konflik manusia dan hidupan liar yang semakin mencabar.

“Pengguna lebuh raya perlu sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju dan meningkatkan tahap kewaspadaan khususnya ketika melalui kawasan laluan pergerakan hidupan liar.

“Saya juga ingin merakamkan rasa simpati terhadap dua mangsa yang cedera akibat kemalangan di LPT2, malam tadi,” tambahnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, sepasang suami isteri berdepan detik cemas selepas kenderaan pelbagai guna dinaiki mereka gagal mengelak lalu merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6, LPT 2 selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh, malam tadi. – KOSMO! ONLINE

The post LLM, LPT2 dan Perhilitan diarah cari penyelesaian segera appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved