AMPANG – Polis giat mengesan seorang remaja yang dipercayai hilang selepas meninggalkan rumah di Kampung Pasir, Hulu Kelang di sini berikutan perselisihan faham dengan keluarga.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, bapa remaja itu memaklumkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun 11 bulan tiada di rumah kira-kira jam 6.40 petang, Khamis.
Menurutnya, remaja itu dikenali sebagai Muhammad Khalif Mohd Redzuan, berketinggian 176 sentimeter (cm) dan berat 55 kilogram.
“Mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-42897222.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Azamil Makmor di talian 019-6004104,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, pihak polis menasihatkan orang awam, khususnya ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing.
“Jangan membenarkan mereka bersendirian serta segera menghubungi pihak polis atau talian kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.
Muhammad Khalif dicari polis selepas dipercayai hilang selepas meninggalkan rumah di Kampung Pasir, Hulu Kelang pada Khamis.



