Dia ada 'anxiety' - Ibu

LocalHealth & Fitness
11 May 2026 • 3:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dia ada 'anxiety' - Ibu
Anggota bomba memujuk pelajar perempuan yang berada di luar bangunan asrama. Foto ihsan JBPM

SERDANG – Gangguan keresahan atau anxiety dipercayai menjadi punca seorang pelajar perempuan bertindak di luar kawalan di sebuah asrama di sini pada Ahad.

Ibu kepada pelajar berusia 19 tahun itu tampil menjelaskan keadaan sebenar anaknya yang dikatakan sedang menjalani rawatan bagi masalah berkenaan.

Menurut wanita terbabit, anak perempuannya dipercayai mengalami tekanan emosi selepas menjadi mangsa buli.

“Dia asalnya kena buli. Bila jadi lagi, dia macam stres. Dia tak sedar pun dia buat semua itu. Maaf ya.

“Terima kasih atas komen semua. Doakan anak saya baik-baik sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Terdahulu, pihak bomba berjaya menyelamatkan pelajar perempuan terbabit yang berada di tingkat satu bangunan asrama berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.37 pagi.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan I Nor Azuwan Zulghoni berkata, sebaik tiba di lokasi, anggota melakukan penilaian awal sebelum berjaya memujuk mangsa daripada bertindak di luar kawalan.

Menurutnya, mangsa berjaya diselamatkan, sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan sekolah untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.06 pagi selepas keadaan disahkan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.