Pelajar perempuan histeria, berdiri di koridor tingkat 1 sekolah

15 Apr 2026 • 8:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pelajar perempuan tersebut dipercayai mengalami gangguan histeria dengan bertindak berdiri di koridor tingkat satu bangunan sekolah pada Rabu.

BACHOK – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua sebuah sekolah, di sini dipercayai mengalami gangguan histeria dengan bertindak berdiri di koridor tingkat satu bangunan sekolah pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila mangsa dilaporkan menunjukkan tingkah laku luar kawalan di dalam kelas sebelum bertindak keluar melalui tingkap dan berada di koridor berkenaan.

“Usaha guru untuk menenangkan pelajar terbabit tidak berjaya apabila mangsa didapati bertindak agresif serta berada dalam keadaan seolah-olah tidak sedarkan diri.

“Pihak sekolah kemudian mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berada berhampiran lokasi sebelum operasi menyelamat dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, selepas kira-kira setengah jam kemudian, remaja itu berjaya diturunkan dengan selamat oleh anggota bomba.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit mempunyai sejarah gangguan histeria serta pernah menerima rawatan termasuk rawatan tradisional dan rawatan pakar psikiatri sebelum ini yang belum pulih sepenuhnya.

“Pelajar ini diserahkan kepada ibunya dan berada dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” ujar beliau.

Tambahnya, polis turut menegaskan tiada sebarang unsur cubaan bunuh diri dalam kejadian tersebut seperti yang ditularkan di media sosial dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi.

“Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian itu,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved