‘Dia beritahu dipukul tiga rakan pada muka, kepala dan badan’

19 Nov 2026 • 10:59 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Dia beritahu dipukul tiga rakan pada muka, kepala dan badan’

TANGKAK – Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini cedera pada bahagian rahang dan belakang kepala selepas dipercayai dibelasah tiga rakan sekelas dalam kejadian Khamis lalu.

Lebih memilukan, mangsa yang berusia 15 tahun itu bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal, malah turut trauma sehingga dikatakan takut untuk kembali ke sekolah selepas kejadian berkenaan.

Menurut ahli keluarga, mereka menerima panggilan daripada pihak sekolah kira-kira pukul 10.25 pagi, Khamis lalu yang memaklumkan anaknya mengalami sakit perut ketika berada di sekolah.

“Dia (mangsa) cakap dia takut nak beritahu cikgu yang dia kena pukul, dia minta kerani menghubungi keluarga untuk datang ke sekolah.

“Selepas kami ke sekolah, dia beritahu dia kena pukul rakan sekelas, tiga budak lelaki serang dia, pukul bahagian muka, kepala dan badan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan sinar-X di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar bagi memastikan tiada kecederaan serius atau tulang patah.

Difahamkan, mangsa diberikan cuti sakit selama 15 hari oleh pihak hospital bermula 13 November hingga 27 November ini, selain masih mengalami trauma akibat kejadian tersebut.

Lebih mengejutkan, penjaga mangsa turut mendakwa pihak sekolah mengambil tindakan menggantung persekolahan remaja itu tanpa sebab sebelum keputusan berkenaan ditarik balik selepas rakaman kejadian dikemukakan.

Bagaimanapun, keluarga mangsa mendakwa tiada tindakan sewajarnya dikenakan terhadap kumpulan pelajar yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli tersebut.

Keluarga mangsa kini mengambil tindakan lanjut dengan mengemukakan aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan insiden berkenaan mendapat perhatian pihak berwajib.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 November lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.-KOSMO! ONLINE

The post ‘Dia beritahu dipukul tiga rakan pada muka, kepala dan badan’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved