Selisih faham mesej Whatsapp, pelajar Tingkatan Dua cedera dipukul tiga pelajar

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 1:55 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Kenyataan media Polis Daerah Tangkak berhubung kes buli melibatkan tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah.

Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan selepas dipercayai dipukul oleh tiga pelajar lelaki lain susulan perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp.

Kejadian dipercayai berlaku pada 13 November lalu, kira-kira jam 8 pagi, di dalam sebuah kelas dan kawasan pondok sebuah sekolah menengah di daerah Tangkak, Johor.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 14 November, kira-kira jam 12.09 tengah malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perbualan dalam kumpulan WhatsApp yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terbabit.

“Mangsa mendakwa telah ditendang, ditumbuk dan disepak berulang kali oleh ketiga-tiga pelajar berkenaan di beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Susulan kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, dengan pemeriksaan perubatan mengesahkan kecederaan tisu lembut pada bahagian kiri kepala, dada, perut dan lengan kiri.

Roslan berkata, hasil tindakan pantas polis, tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun telah dikenal pasti dan diambil tindakan bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil temu bual awal mendapati ketiga-tiga pelajar terbabit mengakui penglibatan mereka dalam kejadian berkenaan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis memandang serius sebarang bentuk buli dan keganasan, khususnya yang melibatkan pelajar sekolah.

Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan kekerasan bagi menyelesaikan perselisihan faham bukan sahaja tidak wajar, malah boleh menyebabkan kecederaan dan menjejaskan keselamatan mangsa.

Sehubungan itu, ibu bapa dan pihak sekolah diseru supaya lebih peka terhadap tingkah laku serta pergaulan anak-anak selain tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan perbuatan buli.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih, terutama yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terlibat.

The post Selisih faham mesej Whatsapp, pelajar Tingkatan Dua cedera dipukul tiga pelajar appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved