‘Dia cuma mahu tahu siapa ambil alatan kebun…’

13 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Dia cuma mahu tahu siapa ambil alatan kebun…’

KUALA LANGAT – “Dia cuma mahu tahu siapa yang mengambil peralatan kebun, tetapi akhirnya nyawa menjadi taruhan.”

Demikian luahan balu kepada pengusaha kebun, Allahyarham Rusdi Tulus, 49, yang maut dibunuh dipercayai sekumpulan individu dalam kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting, Ahad lalu.

Nasriza Kairi, 45, berkata, suaminya sempat bersarapan dan berbual dengannya pada pagi hari kejadian sebelum memaklumkan mahu ke kebun untuk mengetahui siapa yang mengambil peralatan miliknya.

Menurutnya, Allahyarham yang sudah lebih sebulan tidak ke kebun kerana menguruskan tuaian projek ladang satelit cili, telah pergi sendirian ke lokasi antara pukul 8 hingga 9 pagi.

Malah, arwah suaminya memaklumkan pemergiannya ke kebun yang jarak 10 kilometer dari rumah hanya sekejap ekoran ingin meneruskan urusan di ladang cili memandangkan merupakan peserta projek ladang satelit tanaman berkenaan.

“Pada Khamis dan Jumaat sebelum itu pun dia masuk ke kebun untuk bekerja dan mendapati peralatan kebunnya sudah tiada.

“Jadi, pada Ahad itu dia mahu masuk ke kebun bagi menyiasat siapa yang ambil,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Kelambu di sini semalam.

Ibu kepada enam anak berusia antara empat hingga 25 tahun itu berkata, perubahan ketara pada arwah suaminya adalah sering mengeluh selepas kehilangan peralatan kebun termasuk sabit, galah dan kelengkapan mengusahakan kebun kelapa sawit.

“Arwah cakap fikiran dia rasa berat, hati gementar dan takut. Dia juga kata orang yang mengambil peralatan itu bukan orang biasa-biasa. Sehari sebelum kejadian pun dia beritahu memang ada orang masuk ke kebun, tetapi dia tidak tahu siapa,” ujarnya.

Nasriza berkata, suaminya hanya mahu berbincang dengan individu yang mengambil peralatan berkenaan dan bukannya mencari gaduh.

“Kalau arwah mahu jumpa orang yang mengambil barang itu, niatnya hanya untuk berbincang dan mengetahui siapa yang mencurinya. Dia bukan pergi mencari pasal atau mahu menyerang sesiapa.

“Jadi saya tidak sangka niatnya mahu mengetahui siapa yang mengambil barang itu berakhir dengan kematian,” katanya.

Nasriza berkata, sebelum kejadian, suaminya turut menghubungi anak keempat kira-kira pukul 11 pagi, namun panggilan itu tidak sempat dijawab.

Tambahnya, selepas panggilan telefon yang dibuatnya kepada suami tidak dijawab selama kira-kira setengah jam bermula pukul 2.30 petang, ahli keluarga mula mencari Allahyarham.

“Adik-beradik dan seorang anak pergi mencarinya sekitar pukul 3 petang selepas saya tidak dapat menghubunginya.

“Kemudian adik ipar menghubungi saya dan memberitahu penduduk tempatan menemukan motosikal Demak yang dinaiki arwah di tepi jalan kawasan kebun, tetapi arwah tiada di situ,” katanya.

Menurutnya, keadaan Allahyarham hanya disahkan pada lewat petang selepas dimaklumkan anak sulungnya yang menghubungi ahli keluarga.

“Pada awalnya, adik ipar kata arwah mungkin pengsan kerana belum ada pengesahan. Tetapi apabila mereka kata tunggu ambulans dan polis, saya sudah mula syak sesuatu yang buruk berlaku.

“Bila anak sulung yang juga masuk ke lokasi dan menghubungi adiknya, dia beritahu memang sah ayah sudah tiada,” katanya.

Nasriza berkata, berdasarkan laporan forensik menyatakan Allahyarham mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala akibat hentakan senjata tumpul selain kesan kecederaan pada leher dan satu tikaman di dada kiri.

Tambahnya, dia juga tidak mengenali kumpulan penyerang yang membunuh suaminya.

“Kalau lihat kecederaan itu, seperti arwah diserang dari belakang. Dia seorang sedangkan yang menyerang pula berkumpulan.

“Memang sangat terkilan. Dia pergi dalam keadaan baik, cuma mahu tahu siapa yang mengambil peralatannya, tetapi akhirnya jadi begini. Saya tidak sangka perkara kecil seperti itu boleh menjadi punca suami dibunuh,” katanya.

Nasriza berharap kesemua suspek yang terlibat menerima hukuman setimpal dengan perbuatan mereka.

“Saya harap semua penjenayah diberikan hukuman setimpal kerana nyawa menjadi taruhan. Kalau boleh, nyawa dibalas nyawa.

“Kami memang tidak boleh terima apa yang berlaku dan berharap hukuman yang diberikan nanti setimpal dengan perbuatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, dia menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan khabar angin atau fitnah berhubung kematian suaminya.

“Jangan tambah duka kami. Kalau ada mana-mana pihak terus menyebarkan fitnah, maka kami akan saman,” jelasnya.

Jenazah Allahyarham Rusdi selamat dikebumikan selepas maghrib pada Isnin lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung
Sungai Kelambu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan pertengkaran dipercayai berkaitan kehilangan peralatan pekebun dan buah kelapa sawit menjadi punca seorang pemilik kebun maut dibunuh di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting, Ahad lalu.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kepala, manakala lapan lelaki berusia antara 20 hingga 70-an direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

The post ‘Dia cuma mahu tahu siapa ambil alatan kebun…’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved