“Dia isteri baik dan sangat taat…”
Demikian kata Mohammad Izzudin Izhar atau lebih dikenali Cikgu Din mengenai isterinya, Nur Atiqah My Yusoff yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.23 malam tadi, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, dekat sini.

Dia isteri baik, sangat taat…
Mohammad Izzudin berkata, beberapa hari sebelum isterinya ‘pergi’, wanita itu memberitahu dia sudah reda jika dijemput Ilahi dalam masa terdekat, asalkan ada suami di sisinya.
“Alhamdulillah, isteri pergi dengan cara elok, walaupun menahan sakit, tetapi ketika menghembuskan nafas terakhir, wajahnya sangat tenang dan bercahaya.
“Dia isteri yang baik dan sangat taat, saya bersyukur Allah SWT beri peluang untuk saya menjaganya sehingga nafas terakhir malah sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Cikgu Din, isterinya yang baru saja menghabiskan rawatan kimoterapi 10 kitaran, dimasukkan ke hospital pada 9 November lalu berikutan tulang paha patah serta keadaan kesihatannya semakin kritikal.
Sepanjang ditempatkan sementara di sebuah sekolah rendah di sini, dia tidak pernah gagal ke HRPZ II untuk menjaga isterinya setiap hari.
“Saya usahakan setiap hari untuk ke hospital kerana selagi tidak nampak wajah saya, isteri akan bertanyakan ahli keluarga di mana saya.
“Alhamdulillah, bermula hari pertama dimasukkan ke wad sehingga hayat terakhir isteri, saya setia di sisinya kerana amanahnya adalah untuk pergi dalam keadaan saya berada di sampingnya.
“Saya reda dengan kehilangan isteri tersayang. Saya berpuas hati kerana dapat menjaga isteri sehingga akhir hayatnya,” katanya.

Solat jenazah Nur Atiqah diadakan di Masjid Putra Taman Desa SBJ Putra Pasir Pekan sebelum selamat ikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Pasir Pekan, di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Serah penempatan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia
Sementara itu, disoal mengenai penempatan kerjayanya selepas ini, Mohammad Izzudin menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sama ada kekal di sekolah rendah di sini, atau kembali ke Sarawak.
Jelas beliau, dia tidak mahu memikirkan mengenai perkara berkenaan, sebaliknya mahu mengambil waktu untuk merawat emosi selain memberi perhatian kepada anak tunggu mereka, Mohammad Izz Aydan,4.
Sumber: Harian Metro (Siti Rohana Idris), Kosmo! Online (Rohana Mohd. Nawi)



