'Dia makan nasi baru separuh, basuh tangan, terus lari naik...' -Luahan bapa mangsa korban 6 sekeluarga maut kemalangan

LocalCars
8 Jun 2026 • 9:24 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Dia makan nasi baru separuh, basuh tangan, terus lari naik...' -Luahan bapa mangsa korban 6 sekeluarga maut kemalangan

KEGEMBIRAAN sebuah keluarga yang baru sahaja keluar kereta baharu dari kedai bertukar menjadi tragedi paling hitam dalam hidup mereka. 

Lebih menyedihkan, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang baru sahaja diambil kira-kira jam 11 pagi itu tidak sempat pun dipandu dalam tempoh 24 jam. 

Kereta yang dibeli hasil titik peluh anak muda yang baru bekerja itu terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah pada petang Ahad, sehingga mengorbankan enam nyawa sekali gus.

Bagi seorang bapa, Ibrahim Ghazali, runtuh hatinya apabila mengenangkan gelagat anak keduanya, Iskandar Arfan, 7, yang tersangat teruja untuk menaiki kereta baharu milik bapa saudaranya itu. 

Menurut Ibrahim, mereka sekeluarga sedang berehat di rumah sebelum menerima panggilan telefon yang membawa khabar duka tentang kemalangan tersebut. 

Image from: 'Dia makan nasi baru separuh, basuh tangan, terus lari naik...' -Luahan bapa mangsa korban 6 sekeluarga maut kemalangan

"Kami berada di rumah, terima call beritahu semua dah tiada. Sebab tu kami sampai terus. Pagi tadi lepas ambil kereta, mereka singgah di rumah sebab anak saya teringin sangat nak naik kereta baru ni.

"Sama macam kakak dia, anak saya yang sulung ni tetapi bila depa sampai, kakak tak mahu ikut, anak lelaki sorang ja nak ikut. Mereka memang rapat, ke mana sahaja pergi pasti mereka bawa anak.

"Dia makan nasi baru separuh, dia basuh tangan, terus lari naik. Memang dia teringin sangat nak naik kereta. Sebab tu mereka datang ambil dia. Petang itu ikutkan mereka dalam perjalanan menziarahi kubur bapa mentua di Merbok," luah Ibrahim dengan nada yang cukup hiba.

Sebelum kejadian yang meragut nyawa itu, kesemua mangsa sempat berkongsi gambar gembira berlatarbelakangkan kereta baharu berkenaan di dalam group WhatsApp keluarga. 

Kereta itu sebenarnya adalah milik adik ipar bongsu Ibrahim, Ahmad Fahim Ahmad Sukri, 21 yang baru sahaja habis belajar dan bekerja. 

"Mereka nampak seronok... ambil gambar masuk dalam group tunjuk kereta baru keluar. 

"Adik ipar yang bongsu baru habis belajar dan kerja di Mydin Bertam. Ini kereta pertama hasil dia sendiri, masing-masing seronok... tak sangka semua benda jadi begini. Tak sampai sehari kereta ni," imbas Ibrahim lagi sambil menahan sebak di dada.

Image from: 'Dia makan nasi baru separuh, basuh tangan, terus lari naik...' -Luahan bapa mangsa korban 6 sekeluarga maut kemalangan

Tragedi yang berlaku sekitar jam 3.45 petang itu dipercayai terjadi apabila SUV yang dipandu oleh Ahmad Shafiq Ahmad Sukri, 27, dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur.

Bagaimanapun, kenderaan itu dikatakan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori muatan tanah. 

Selain Iskandar Arfan, Ahmad Shafiq, dan Ahmad Fahim, kemalangan menyayat hati itu turut mengorbankan Nora Mhd Husin, 55, Jamaliah Sannusi, 27, serta seorang bayi kecil yang baru berusia enam bulan.

Image from: 'Dia makan nasi baru separuh, basuh tangan, terus lari naik...' -Luahan bapa mangsa korban 6 sekeluarga maut kemalangan

Seorang lagi mangsa yang terselamat, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun bernama Aulia Sofea Ahmad Shafiq dilaporkan mengalami cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH). 

Manakala jenazah enam lagi mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan. 

Kisah meruntun jiwa tersebut benar-benar memberi kesan mendalam kepada seluruh masyarakat yang mendoakan agar keluarga ini terus kuat dan tabah menghadapi kehilangan besar ini. 

Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa.