
KUALA LUMPUR – Kadangkala, senyuman yang terlihat tenang sebenarnya sedang menyembunyikan seribu kepayahan yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa, termasuk keluarga sendiri.
Begitulah kisah menyentuh hati yang tular di Threads apabila seorang wanita mendedahkan mesej terakhir arwah abangnya kepada pengacara terkenal, Aznil Nawawi, sehingga membuatkan ramai netizen sebak membaca luahan tersebut.
Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, pengguna bernama @prvky0o menulis hantaran sambil menandakan akaun rasmi Pak Nil bagi memaklumkan bahawa abangnya telah meninggal dunia.
“Assalammualaikum @aznilnawawihm, abang saya dah tak ada. Baru tengok-tengok DM ada nampak DM dengan Pak Nil. Sejujurnya dia tak pernah nak cerita ni kat kami. Ya Allah along… banyaknya kau nak rahsia kat kami,” tulisnya.
Penulis Threads itu turut berkongsi tangkap layar mesej arwah abangnya yang pernah dihantar kepada Pak Nil sebelum ini.
“Raya Paling Terendah Untuk Saya”
Dalam mesej tersebut, arwah meluahkan keadaan hidupnya yang ketika itu sedang diuji selepas diberhentikan kerja.
Dia mengakui hanya mempunyai wang makan untuk minggu berkenaan selain tidak mampu pulang ke kampung menyambut Hari Raya bersama keluarga.
Malah, arwah turut memberitahu dia terpaksa menipu ibu bapanya dengan mengatakan masih bekerja kerana tidak mahu mereka risau.
“Baju raya pun saya tak beli. Sedih saya Pak Nil. Allah uji macam ni. Tapi saya cuba kuatkan hati cakap Allah uji, Allah sayang,” tulisnya.
Arwah juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Pak Nil selepas menonton video sedekah yang dilakukan pengacara itu di TikTok sehingga membuatkan dirinya lebih reda dengan ujian hidup.
Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati ramai apabila ruangan komen dipenuhi ucapan takziah dan doa buat arwah. Ada yang bertanyakan mengenai keadaan kesihatan arwah sebelum ini, namun pemilik akaun Threads memaklumkan abangnya seorang yang pendiam dan tidak banyak berkongsi masalah dihadapi dengan keluarga.
“Dia sakit, dia banyak diam, dia tak bagitau kami,” katanya ringkas.
Selain itu, ramai netizen turut berharap agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dipermudahkan segala urusannya di alam sana.
Ada juga yang berharap hantaran tersebut mendapat perhatian Pak Nil memandangkan mesej terakhir arwah itu cukup menyentuh perasaan ramai. – The Malaysian Update
The post “Dia Sakit, Dia Banyak Diam…” – Adik Dedah Mesej Arwah Abang Kepada Pak Nil Buat Ramai Sebak appeared first on The Malaysian Update.
