
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, media melaporkan insiden mengenai seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di daerah Melaka yang meninggal dunia selepas rebah ketika mengikuti latihan ragbi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa, Muhammad Raiyan Nufael yang berusia 14 tahun tiba-tiba rebah dan mengalami kesukaran bernafas sewaktu mendengar taklimat jurulatih.
Bapa Sifatkan Pemergian Anak Sulung perkara Yang Mengejutkan, Arwah Tiada Sejarah Penyakit
Memetik Malaysia Gazette, bapa kepada pelajar berkenaan, Mohd Aswandi Wahid menyifatkan pemergian anak sulung dari tiga beradik itu satu perkara yang mengejutkan.
Ini kerana jelasnya, anaknya itu sebelum ini tidak pernah mempunyai sebarang sejarah penyakit.
Malah, arwah Muhammad Raiyan Nufael merupakan seorang yang aktif bersukan serta sentiasa menjaga kecergasan diri sehingga melayakkan diri masuk ke Akademi Ragbi Melaka.
“Memang saya terkejut kerana sebelum ini dia tak ada sakit apa-apa malah sentiasa menjalani rutin kecergasan termasuk berjoging dan ke gimnasium ketika cuti sekolah.
“Umur dia 14 tahun tapi lebih tinggi dari saya malah kasut pun saiz 10.5 membuktikan dia memang dia sihat dan cergas,” katanya yang dipetik dari Malaysia Gazette.
Terang Mohd Aswandi lagi, anaknya itu tidak pernah mengadu mengalami masalah kesihatan serta sentiasa kelihatan ceria sepanjang berada di asrama.
Dek kerana perwatakannya yang ramah, arwah mudah disenangi oleh sesiapa sahaja.
Bapa Terima Panggilan Tentang Anak Ketika Pulang Dari Cameron Highlands
Menceritakan detik dia mengetahui pemergian anaknya, Mohd Aswandi menjelaskan dia pada ketika itu bersama isteri sedang dalam perjalanan pulang dari Cameron Higlands selepas bertolak dari rumah mereka di Alor Gajah pada jam 9 pagi semalam.
“Saya dan isteri pergi Cameron Highlands pun sekadar makan dan membeli strawberi sebelum menerima panggilan daripada guru arwah ketika dalam perjalanan pulang berhampiran Simpang Pulai.
“Tiba-tiba cikgu telefon beritahu anak saya ‘collapse’ selepas latihan rugbi. Masa tu saya dah reda dan beritahu isteri untuk cuba tenangkan diri dan menerima apa sahaja ketentuan Ilahi,” katanya.
Bapa Sedar Arwah Ada Tunjuk Perubahan Sikap
Kongsi Mohd Aswandi lagi, dia menyedari terdapat beberapa perubahan sikap sewaktu arwah pulang bercuti pada minggu lalu.
Jelasnya, Muhammad Raiyan menguruskan sendiri pakaian serta kelengkapan sekolah tanpa disuruh sedangkan sebelum ini dia akan meminta bantuan ibu atau neneknya.
“Biasanya isteri saya akan siapkan barang-barang dia kalau nak balik asrama atau ada perlawanan tapi kali ini dia urus sendiri semuanya.
“Seawal jam 6.30 pagi dia sudah siap dan mengemas semua kelengkapan,” jelasnya.
Bapa Reda Dengan Pemergian Anak, Anggap Ketentuan Allah SWT
Meskipun kehilangan arwah amat dirasai namun Mohd Aswandi reda serta menganggap pemergian anaknya itu sebagai ketentuan Allah SWT.
“Dia anak yang baik dan disenangi ramai, mudah bergaul dengan sesiapa sahaja termasuk rakan-rakan saya.
“Orang baik selalunya akan pergi dulu dan kami sekeluarga reda kerana Allah lebih menyayanginya, orang,” katanya.
Jenazah Muhammad Raiyan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Lanjut, Kelemak, Alor Gajah selepas proses bedah siasat.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Tingkatan 2 Meninggal Dunia Selepas Sertai Latihan Ragbi
Baca Artikel Berkaitan: “Bukan Hanya Ragbi..” – Pakar Dedah Jantung Boleh Berhenti Akibat Pelanggaran Ketika Sukan

