KES membabitkan remaja sindrom Down bernama Bella pernah menjadi perhatian ramai. Tidak kurang yang menitiskan air mata selepas tularnya video kanak-kanak berusia 13 tahun itu melecur teruk pada tangan, dada, leher dan paha.
Dalam perkembangan terbaru, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 32, didapati kekal bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down itu.
Hakim, Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan Siti Bainun.
Beliau berkata 18 kecederaan, parut pada Bella bukan rekaan saksi, bukan kemalangan atau perbuatan mangsa sendiri.
Noorin ketika membaca keputusan penghakiman memaklumkan keterangan dua saksi iaitu bekas penghuni Rumah Bonda di Wangsa Maju, Yasmin Nahar Mahmood dan SP8, Pegawai Penyelidik Undang-undang di sebuah firma guaman yang juga rakan Siti Bainun, Suhana Zam sukar dianggap sebagai mereka-reka cerita susulan saksi perubatan konsisten mendapati kecederaan Bella adalah bukan kemalangan atau perbuatan mangsa sendiri
Lebih menyedihkan, peguam pemerhati, Khairul Anwar Rahmat berkata Bella hingga kini dikatakan trauma susulan kejadian itu.

“Sebahagian daripada kecederaan yang dialami Bella telah sembuh namun beliau tetap memerlukan rawatan susulan terutamanya kecederaan melibatkan kulit.
“Bak kata orang, sakit boleh hilang tetapi parut tetap ada,” kata peguam yang dilantik Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, pelbagai kenyataan saksi mengejutkan, mendukacitakan dan telah mendapat liputan meluas di media sosial hingga wujud hashtag #justiceforBella.
Berikut adalah kronologi kes Bella yang pernah menggemparkan Malaysia:
20 Ogos 2021 – Siti Bainun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan Bella.
25 Nov 2021 – Siti Bainun didakwa menganiaya Bella di mahkamah sama dan dia mengaku tidak bersalah.
28 Jan 2022 – Mahkamah membenarkan permohonan Siti Bainun untuk mendapatkan pasport bagi membolehkan dia menghadiri program sukarelawan di Filipina.

30 Mac 2022 – Hari pertama perbicaraan kes Siti Bainun dengan saksi pendakwaan pertama iaitu pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin memberi keterangan.
13 April 2022 – Hakim Izralizam dan semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes Siti Bainun melawat lokasi kejadian di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, yang merupakan tempat tinggal mangsa.
20 April 2022 – Mahkamah membenarkan permohonan empat peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk bertindak sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan kes itu.
21 April 2022 – Hakim Izralizam mengingatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau komen di media sosial berhubung perbicaraan kes itu.
17 Jun 2022 – Bella hadir di mahkamah untuk sesi pengecaman oleh tiga saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.
22 September 2022 – Bella sebagai saksi pendakwaan ke-18 memberi keterangan secara tertutup di mahkamah.
Baca juga: 7 kenyataan saksi kes Bella buat ramai terkedu, Che Puan Besar Khaleeda ikrar bantu tuntut keadilan

23 September 2022 – Bella selesai memberi keterangan di mahkamah.
28 Oktober 2022 – Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 22 saksi dan mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 18 Nov serta menetapkan 24 Nov untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.
24 November 2022 – Siti Bainun diperintah membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
5 Disember 2022 – Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan prosiding bela diri Siti Bainun yang sepatutnya bermula 5 Dis kerana tertuduh dimasukkan ke wad.
7 Disember 2022 – Prosiding bela diri ditangguhkan kerana Siti Bainun diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari bermula 28 Nov kerana masalah kesihatan.
13 Januari 2023 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti Bainun untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membela diri dan tertuduh perlu membela diri pada 16 Januari 2023.
16 Januari 2023 – Prosiding bela diri Siti Bainun ditangguh selepas tiga peguamnya iaitu Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif menarik diri.
17 Januari 2023 – Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil turut membuat keputusan untuk menarik diri daripada mewakili Siti Bainun sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam.
26 Januari 2023 – Siti Bainun diarah membela diri meskipun pengasas Rumah Bonda itu tidak diwakili peguam.
9 Mac 2023 – Pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil lapan saksi untuk memberi keterangan termasuk Siti Bainun dan menetapkan 3 Mei untuk keputusan di akhir kes pembelaan.
3 Mei 2023- Mahkamah Sesyen di sini mendapati Siti Bainun bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.Bagi kesalahan pertama iaitu mengabaikan Bella, dia dihukum penjara 10 tahun sementara kes menganiaya, 12 tahun bagi pertuduhan kedua.Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh hukum itu.
Hakim, Izralizam Sanusi turut memerintah Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin termasuk cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman dan perlu melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam masa enam bulan selepas tamat hukuman penjara dengan syarat.

Siti Bainun telah dibawa ke Penjara Kajang, selepas mahkamah menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara..
Terdahulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyita sebuah rumah kebajikan yang dikenali Rumah Bonda setelah mendapati ia tidak berdaftar dengan pihak JKM manakala hak penjagaan ke atas enam kanak-kanak termasuk Bella dilucutkan pada 5 Julai 2021.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
The post Diabai & dianiaya Siti Bainun, Bella masih trauma, hukuman penjara 12 tahun kekal. Ini kronologi kes meruntun hati appeared first on SinarPlus.

