
Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella.
Meskipun kes ini berlaku tiga tahun lalu, namun peguam pemerhati, Datuk Khairul Anwar Rahmat, yang dilantik Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata Bella masih dalam keadaan trauma.
Artikel berkaitan: Aniaya Remaja Sindrom Down, Mahkamah Kekal Hukuman Penjara 12 Tahun Terhadap Siti Bainun
Artikel berkaitan: Siti Bainun Sudah Insaf, Peguam Minta Dikenakan Hukuman Ringan
“Kami boleh mengesahkan sehingga kini Bella masih terkesan dan belum boleh menerima kesakitan dialami, dia masih trauma.
Walaupun ada kecederaan sudah pulih dan ada yang masih lagi memerlukan rawatan susulan terutamanya kecederaan membabitkan kulit, ibarat pepatah Melayu sakit boleh hilang, parut tetap ada,” katanya.
Sebagai info, mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada Februari hingga Jun 2021.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Sumber: Buletin TV3
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

