Diam-diam mencuri perhatian

Women's FashionLifestyle
7 Nov 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Diam-diam mencuri perhatian

Jenama: The Kita Studio

Rekaan: Monogram Edit Tunic Ivory.

Laman Sesawang: https://thekitastudio.easy.co/

Instagram: @thekitastudio

Kalau setiap kali membuka almari anda masih mengeluh, “Aduhai, tak ada baju nak pakai!”, mungkin masalahnya bukan kerana kekurangan pakaian. Barangkali kita terlalu banyak membeli baju yang cantik untuk satu majlis, tetapi susah hendak digayakan untuk hari-hari biasa.

Ada yang terlalu sarat, ada yang perlu digosok berkali-kali dan ada juga yang membuatkan kita berfikir hampir setengah jam hanya untuk memilih seluar yang sesuai. Akhirnya, baju yang sama juga menjadi pilihan. Pernah alami situasi begini?

Sebab itulah minggu ini saya rasa anda patut menjenguk satu rekaan daripada jenama tempatan The KITA Studio. Namanya Monogram Edit Tunic Ivory. Sekali pandang, mungkin anda berkata, “Alah, baju putih gading sahaja.”

Tetapi tunggu dahulu. Jangan cepat sangat membuat keputusan. Kadang-kadang pakaian yang paling sederhana itulah yang paling banyak akal apabila hendak digayakan.

The KITA Studio yang ditubuhkan pada 2021 memberi tumpuan kepada pakaian sedia pakai, khususnya rekaan kaftan yang mudah digayakan. Saya tertarik dengan pemilihan nama KITA yang mencerminkan hasrat jenama ini menghasilkan pakaian untuk pelbagai bentuk dan saiz badan.

Bagi saya, falsafah sebegini cukup relevan. Wanita Malaysia datang dengan pelbagai bentuk tubuh, cita rasa dan rutin kehidupan. Mengapa semuanya perlu mengikut satu acuan fesyen yang sama?

Berbalik kepada tunik pilihan saya, tarikan utamanya terletak pada poket besar di bahagian dada yang dihiasi sulaman monogram. Bukan poket biasa-biasa, ya! Sulamannya cukup terperinci, dengan kemasan berlubang halus atau ladder-trim yang turut menghiasi bahagian lengan.

Image from: Diam-diam mencuri perhatian

Perincian kecil inilah yang menjadikan rekaan minimalis ini lebih menarik tanpa perlu bergantung pada corak atau warna yang keterlaluan.
Kolar Mandarin, bukaan butang hadapan yang tersembunyi dan lengan lebar pula memberikan sentuhan kemas serta elegan.

Potongannya santai, sedikit besar dan labuh, sesuai untuk wanita yang mengutamakan keselesaan serta penampilan sopan. Ia hadir dalam satu saiz atau free size, jadi saya cadangkan anda menyemak ukuran sebenar terlebih dahulu kerana satu saiz tidak semestinya sesuai untuk semua.

Dari segi material, tunik ini menggunakan gabungan poliester, rayon dan asetat. Potongan yang tidak terlalu mengikut bentuk badan juga menjadikannya menarik untuk digayakan dalam pelbagai suasana.

Untuk ke pejabat, saya suka padanan tunik ivory dengan seluar potongan lurus berwarna coklat kopi atau kelabu arang. Tambahkan kasut loafers, jam tangan dan beg berstruktur. Kalau mahu sedikit kelainan, cuba seluar palazzo hitam. Kontras hitam dan putih gading gading pasti tidak mengecewakan.

Bagi wanita yang gemarkan penampilan feminin, cuba padankan dengan skirt labuh berwarna pastel. Kasut bertumit rendah dan beg kecil sudah mencukupi. Elakkan rantai yang terlalu besar kerana sulaman monogram pada poket itu sendiri sudah menjadi aksesori utama.

Untuk wanita berhijab, saya cadangkan tudung polos berwarna mocha, taupe atau dusty rose. Pilih lilitan ringkas yang tidak menutupi poket bersulam. Padankan dengan seluar palazzo dan beg silang kecil. Jika mahukan penampilan lebih berani, tudung hijau zaitun bersama aksesori emas juga cukup menarik.

Image from: Diam-diam mencuri perhatian

Bagi yang tidak berhijab pula, cuba gaya rambut sanggul rendah dengan anting-anting emas. Mahu lebih santai? Padankan tunik ini dengan denim biru gelap, kasut balet dan beg anyaman. Sesuai untuk keluar makan tengah hari atau berjalan-jalan pada hujung minggu.

Satu perkara yang saya selalu percaya, pakaian yang bagus tidak sepatutnya menyusahkan kehidupan pemakainya. Ia patut memberi lebih banyak pilihan, bukannya menambah masalah setiap kali berdiri di hadapan almari.

Dan itulah yang menarik tentang Monogram Edit Tunic ini. Dengan sedikit kreativiti, sehelai tunik boleh menemani pelbagai acara tanpa perlu kelihatan sama setiap kali.
Jadi, kalau ada yang menegur, “Eh, baju itu lagi?”

Senyum sahaja dan jawab, “Memanglah. Saya beli sebab cantik, bukan sebab nak gantung dalam almari!” Kerana akhirnya, wanita yang bijak bergaya bukanlah yang paling banyak bajunya, tetapi yang paling tahu menghargai setiap helai yang dimilikinya.

The post Diam-diam mencuri perhatian appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved