Diberi Hadiah Melebihi RM10,000, “Content Creator” Ryan Bakery Diminati Ramai

LocalLifestyle
3 Aug 2022 • 8:00 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Image from: Diberi Hadiah Melebihi RM10,000, “Content Creator” Ryan Bakery Diminati Ramai

Sumber: TikTok

Pernahkah anda menonton video atau mendengar nama Ryan Bakery? Kalau ini adalah kali pertama anda mendengar nama ini, mungkin perkara pertama yang terlintas di fikiran anda ialah Ryan ialah pemilik sebuah “bakery” (ya, saya akui, saya terfikir begitu dulu) tetapi, kalau anda tonton video-video pemuda ini di media sosial, anda akan faham, apakah tarikan Ryan Bakery dan bagaimana pemuda ini boleh menjadi begitu popular.

Ryan Bakery
Sumber: TikTok

Ryan Bakery atau nama penuhnya, Muhammad Ryan Fahmi Bakery adalah seorang pemuda berasal dari Perak. Lahir pada tahun 1995, Ryan Bakery dahulu bekerja di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dalam bahagian kargo. Ryan seorang yang disenangi rakan-rakan dan perangainya memang “gila-gila”, dan ini dapat disaksikan dalam sebuah video yang dikongsikannya sewaktu dia masih bekerja di KLIA. Namun, apabila Covid-19 melanda seluruh dunia, ramai pekerja terjejas dan Ryan merupakan salah seorang daripada mereka yang kehilangan pekerjaan.

Walaupun sukar untuk mencari pekerjaan lain, Ryan tidak cepat mengalah dan beralih bidang menjadi seorang “content creator” atau pencipta konten pula. Platform yang digunakan Ryan ialah TikTok kerana ini merupakan platform yang sedang popular di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia. Apa yang lebih menarik tentang Ryan Bakery ini ialah videonya yang unik, mengimbau kenangan, mempunyai kaitan dengan penonton dan mencuit hati. Maka, tidak terkejut apabila Ryan Bakery diminati dan disenangi ramai penonton Malaysia, tidak kira bangsa mahupun agama.

Baru-baru ini, Ryan Bakery telah membuat “Live” (siaran langsung) di TikTok. Sewaktu pemuda tersebut sedang asyik menjawab soalan dan berbual-bual dalam sesi “Live” tersebut, seorang penonton bernama “Sultan Pemurah” telah menghadiahkan beberapa hadiah berupa “Singa” dalam sesi tersebut.

Bagi anda yang tidak faham konsep TikTok, sesiapa saja boleh berkongsi video di akaun TikTok mereka, tetapi anda juga boleh membuat wang di TikTok. Selain daripada menjual produk anda sendiri di TikTok, anda juga boleh menjana pendapatan melaui sesi “Live”. Dalam sesi “Live”, anda boleh berinteraksi dengan penonton secara langsung dan pada masa yang sama, penonton boleh memberi hadiah kepada anda. Penonton perlu membeli “coin” (syiling) daripada TikTok dan memberi hadiah kepada anda berupa “bunga”, “gula-gula”, “topi” dan macam-macam lagi. Hadiah-hadiah ini bermula daripada harga 1 “coin” sehingga mencecah beribu-ribu “coin”.

Sumber: TikTok

Hadiah “Singa” yang diberikan kepada Ryan Bakery oleh penonton bernama “Sultan Pemurah” itu bernilai hampir RM2,000 setiap satu. Penonton tersebut telah menghadiahkan lebih 10 “Singa” dan beberapa hadiah lain kepada Ryan Bakery dalam satu sesi “Live” tersebut sehinggakan Ryan sendiri tidak terkata waktu itu. Namun begitu, hadiah begini tidak 100% akan dimiliki pencipta konten. Kebiasaannya, TikTok akan mendapat 60% dan 40% adalah milik pencipta konten.

Bagi anak-anak muda di luar sana, gunakan media sosial sebagai suatu platform yang boleh memberi manfaat kepada anda. Seperti Ryan, dia beralih kepada media sosial kerana telah kehilangan pekerjaan tetapi kerana dia seorang yang berilmu, dia dapat menggunakan TikTok sebagai suatu platform yang memberi manfaat kepadanya — iaitu berjaya mencipta konten yang mempunyai kaitan dengan penonton dan berjaya menarik mereka untuk mengikutinya dengan konten-konten yang baru dan lebih menarik.

Menjadi “content creator” bukan perkara yang mudah, ia memerlukan idea, perancangan yang teliti dan struktur penyampaian yang memberikan kesan atau impak kepada penonton. Walaupun ada juga pencipta konten lain yang cuba meniru konsep Ryan Bakery, namun penyampaian atau “aura” mereka tidak seperti Ryan. Semoga kejayaan Ryan berpanjangan dan rezeki murah dapat dikongsi bersama-sama mereka yang memerlukan.


Saya Zuan adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.