
ALOR SETAR: Dibesarkan dalam keluarga yang menggunakan bahasa isyarat sebagai medium komunikasi harian tidak pernah menjadi penghalang buat Arifah Azhari untuk mengejar kecemerlangan.
Graduan Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) itu berjaya membuktikan kesungguhannya apabila meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.76, sekali gus menerima Anugerah Pengarah pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026.
Anak kelima daripada sembilan beradik itu turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan Kejuruteraan Awam atas pencapaian cemerlang dalam akademik, kepimpinan dan kokurikulum.
Arifah, 22, adalah anak kepada pasangan Azhari Zainol dan Che Asma Hamzah yang kedua-duanya merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan sejak lahir.
“Emak dan abah sentiasa pesan supaya belajar rajin-rajin agar jadi orang yang berjaya di masa depan. Walaupun cara kami berkomunikasi berbeza, kasih sayang dan sokongan mereka sentiasa menjadi kekuatan saya,” katanya di sini semalam.
Menurut Arifah, ketika kecil, urusan persekolahannya banyak dibantu abang, kakak dan ahli keluarga, manakala komunikasi di rumah menggunakan bahasa isyarat yang diajar sendiri oleh ibu bapanya.
“Abah yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi sumber kekuatan utama keluarga dalam membesarkan kami sembilan beradik,” katanya.
Tambahnya, kejayaan yang dicapai bukan hasil usahanya seorang, sebaliknya turut didorong doa dan pengorbanan keluarga serta bimbingan guru, pensyarah dan sokongan rakan sepanjang pengajian.
Kata Arifah, semangat saling membantu dalam keluarga turut menjadi pemangkin kejayaannya apabila abang-abangnya mengumpulkan wang membeli sebuah komputer riba yang pada awal digunakan kakaknya sebelum diserahkan kepadanya. –UTUSAN
The post Dibesar dengan bahasa isyarat, Arifah raih anugerah appeared first on Utusan Malaysia.
