San Bernardino, California – Seekor kucing bernama Jupiter yang pernah hidup selesa bersama pemiliknya terpaksa hidup di jalanan selepas keluarganya berpindah tanpa membawanya bersama. Selama hampir empat tahun, dia berjuang untuk hidup sebagai kucing terbiar, mencari makanan dan tempat berlindung di antara kucing-kucing liar.
Nekad mahu kembali ke dalam rumah
Lapor Animals Around The Globe, disebabkan tidak biasa hidup bersendirian, Jupiter sentiasa mencari perlindungan dan kasih sayang. Keinginannya untuk kembali ke dalam rumah mendorong dia nekad untuk bertindak memasuki kediaman seorang penduduk. Kejadian itu menarik perhatian Jaina, seorang penyelamat haiwan dari Cats of San Bernardino.
“Dia bukan kucing liar, jelas dia pernah menjadi haiwan peliharaan yang disayangi,” katanya.
- Industri penerbangan sedang teliti konsep tempat duduk bertingkat dalam pesawat
- Lelaki tampar pelajar sekolah beri penjelasan, akui kesilapan dan serah diri kepada polis
- Lelaki tumbuk pelajar hingga hidung retak ditahan polis
- ‘Dah kenapa aniaya anak orang macam tu?’
- Lelaki berjubah tumbuk pelajar hingga patah hidung di Kajang
Jaina yang tersentuh dengan nasib Jupiter segera mengambil tindakan. Bersama dengan pasukannya, Jaina menyelamatkan Jupiter dan membawanya ke hospital veterinar untuk diberikan rawatan.
Peranan baharu sebagai ‘Penjaga’
Setelah menerima rawatan, Jupiter menunjukkan perkembangan yang luar biasa. Dalam masa singkat, dia kembali aktif dan mula menunjukkan sifat penyayangnya. Malah, dia memainkan peranan penting di hospital veterinar sebagai ‘penjaga’ kepada anak-anak kucing lain yang ketakutan, memberikan mereka rasa selamat dan tenang.
“Sangat menakjubkan melihat bagaimana dia membantu menenangkan kucing lain,” kata salah seorang kakitangan hospital.
Jupiter dapat keluarga baharu
Kisah hidup Jupiter menyentuh hati orang ramai. Sepasang suami isteri dari California Utara yang terpikat dengan kisahnya sanggup melakukan perjalanan jauh untuk membawa Jupiter pulang dan memberinya kehidupan yang lebih baik.
Kini, Jupiter kembali menikmati kasih sayang yang telah lama hilang. Daripada hidup di jalanan tanpa kepastian, dia akhirnya mendapat rumah yang penuh kehangatan. Kisahnya menjadi peringatan bahawa haiwan peliharaan adalah tanggungjawab sepanjang hayat, bukan sekadar pilihan sementara.
The post Dibuang selepas pemilik berpindah, kucing ini hidup merempat di jalanan selama 4 tahun appeared first on .


