Didakwa Bersubahat, Abang Ipar Jadi Punca Wanita Diperkosa Bergilir Mengaku Tak Bersalah

8 Sep 2023 • 4:02 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang lelaki yang juga abang ipar kepada mangsa rogol bergilir-gilir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan bersubahat dengan rakan lain yang masih bebas, bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh berusia 29 tahun yang juga seorang penganggur mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim mahkamah.

Bapa empat anak itu didakwa bersubahat dengan rakan sejenayah yang masih bebas untuk memudahkan perbuatan rogol berkumpulan ke atas seorang wanita berusia 26 tahun.

Susulan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 107 Kanun Keseksaan dibaca bersama 375B kanun sama yang memperuntukkan penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang juga didapati positif dadah bagaimanapun tidak ditawarkan sebarang jaminan disebabkan masih ada suspek yang belum ditangkap dalam kes ini.

“Jika tertuduh diberi jaminan, suspek yang masih bebas boleh melarikan diri atas makluman tertuduh, ada tiga orang sekurang-kurangnya yang rogol mangsa, tiga suspek itu masih lagi bebas,” kata Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman.

Menurut laporan, isteri tertuduh belum mengetahui bahawa dia didakwa di mahkamah hari ini. Kali terakhir tertuduh berjumpa dengan isterinya ketika menyerah diri di balai polis.

Empat suspek dipercayai masih dalam negara

Dalam perkembangan lain, empat lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian rogol bergilir-gilir masih berada dalam negara.

Polis masih giat mengesan keempat-empat suspek yang melarikan diri selepas melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.