Didakwa Bunuh Remaja, Pemandu Vellfire Hadap 4 Lagi Pertuduhan Cubaan Membunuh 

9 Sep 2026 • 1:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Didakwa Bunuh Remaja, Pemandu Vellfire Hadap 4 Lagi Pertuduhan Cubaan Membunuh 

KULAI - Pemandu Toyota Vellfire yang didakwa melanggar dan menyebabkan kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Kulai bulan lalu, didakwa hari ini atas pertuduhan membunuh serta empat pertuduhan cubaan membunuh membabitkan empat lagi remaja. 

Choo De Hui, 26, mengangguk selepas pertuduhan membunuh itu dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R. Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, De Hui didakwa menyebabkan kematian remaja perempuan berusia 17 tahun itu di bulatan Persiaran Indahpura 4, antara jam 12.20 tengah malam hingga 12.33 tengah malam pada 25 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun. 

Sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, pesalah boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika disabitkan kesalahan.

De Hui turut menghadapi empat pertuduhan cubaan membunuh empat mangsa lain yang berusia antara 15 hingga 20 tahun.

Kesemua pertuduhan itu didakwa berlaku di Jalan Kiambang 9 dan bulatan Persiaran Indahpura 4, pada waktu yang sama.

Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, atau penjara sehingga 20 tahun sekiranya perbuatan tersebut menyebabkan kecederaan, jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Weng Hong mengendalikan pendakwaan, manakala De Hui tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 2 Disember untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan analisis kimia dan bedah siasat disiapkan.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, empat remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama dan dengan sengaja melakukan khianat dengan memecahkan cermin bahagian belakang serta cermin sebelah kiri hadapan sebuah Perodua Myvi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.33 tengah malam pada 25 Ogos lalu di bulatan Persiaran Indahpura 4, sehingga menyebabkan kerugian kepada Lai Yun Zhe Jeff, 20.

Keempat-empat remaja itu didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

Pihak pendakwaan pada awalnya memohon jaminan RM3,000 bagi setiap tertuduh, namun peguam K.C. Lim yang mewakili keempat-empat remaja berkenaan memohon supaya jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, yang perlu dibayar oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 Oktober, selain penyerahan dokumen berkaitan.

Pada 25 Ogos lalu, Ketua Polis Johor Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata seorang remaja perempuan berusia 17 tahun maut selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah Perodua Myvi sebelum dilanggar Toyota Vellfire.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik antara dua kumpulan kongsi gelap yang aktif di sekitar Johor Bahru. - Getaran, 9 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved