Didakwa Cabul Kanak-Kanak Dan Miliki Bahan Pornografi, Buruh Mengaku Tidak Bersalah 

17 Nov 2026 • 4:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Didakwa Cabul Kanak-Kanak Dan Miliki Bahan Pornografi, Buruh Mengaku Tidak Bersalah 

SEGAMAT - Seorang buruh berusia 20 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Tertuduh, Mohamad Shahrul Nizam Abdul Rahman, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap mangsa di kawasan sebuah ladang di Segamat antara Julai hingga Ogos tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki sebuah video mengandungi bahan pornografi kanak-kanak dalam telefon bimbitnya di sebuah rumah di Segamat, kira-kira jam 1 pagi, 5 November lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 10 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan, dengan syarat dia perlu melaporkan diri di balai polis pada Sabtu pertama setiap bulan.

Tertuduh turut dilarang menghubungi atau mengganggu mangsa, ahli keluarga mangsa serta saksi-saksi pendakwaan yang lain. - Getaran, 17 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved