
SANDAKAN: Seramai 11 lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di Pasar Bandar Ramai-Ramai, di sini, malam tadi.
Kejadian berkenaan menjadi tular dalam media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan pergaduhan terbabit.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd. Rakman, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi talian kecemasan kira-kira jam 7.36 malam.
Katanya, kesemua suspek berusia antara 15 hingga 46 tahun itu terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina.
“Pergaduhan itu dipercayai melibatkan penggunaan senjata tajam sebelum sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menahan semua individu yang disyaki terlibat.
“Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara dua kumpulan yang kemudian berlarutan sehingga mencetuskan satu lagi pergaduhan pada sebelah malam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Katanya, siasatan masih dijalankan termasuk mengesan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan. – UTUSAN
The post Gaduh di pasar, 11 lelaki termasuk remaja 15 tahun ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






