Didakwa dikaitkan ‘mafia korporat’, Victor Chin gesa RCI siasat peranan SPRM

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 12:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Victor Chin gesa penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan kewujudan rangkaian ‘mafia korporat’ termasuk peranan serta kelakuan agensi penguatkuasaan.

SHAH ALAM – Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan rangkaian ‘mafia korporat’ termasuk peranan serta kelakuan agensi penguatkuasaan.

Boon Long yang dikenali sebagai Victor Chin berkata, siasatan berkenaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada dakwaan kewujudan mafia korporat, sebaliknya turut merangkumi tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Saya menyokong penubuhan RCI untuk menyiasat isu ini secara menyeluruh. Siasatan perlu telus dan merangkumi semua pihak termasuk agensi penguatkuasaan.

“Ya, memang terdapat mafia korporat di negara ini tetapi saya bukan sebahagian daripadanya dan tidak menyokong taktik itu,” katanya dalam laporan Bloomberg.

Menurut laporan media, polis sebelum ini menyerbu hartanah milik Victor Chin di Sungai Long dan Kemensah, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Barangan yang dirampas termasuk dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing serta dokumen berkaitan.

Sumber turut memaklumkan bahawa Victor Chin dan isterinya tidak berada di premis ketika serbuan dilakukan, namun tiga pembantunya berada di lokasi berkenaan.

Sementara itu, Victor Chin dalam kenyataan yang diemelkan menegaskan beliau bukan sebahagian daripada rangkaian mafia korporat seperti didakwa sesetengah pihak.

“Label mafia korporat yang dikaitkan dengan saya sebahagian besarnya berpunca daripada hubungan dengan beberapa individu atau syarikat melalui pegangan saham atau urusan perniagaan pada masa lalu.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya sebenarnya mangsa kepada taktik mafia korporat yang didakwa wujud,” jelasnya.

Beliau berkata, dirinya bersedia mendedahkan segala-galanya sekiranya beliau dan keluarganya terus diancam tanpa belas ihsan.

“Saya juga akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam sebarang siasatan yang dijalankan.

“Saya percaya pihak berkuasa akan menunjukkan pertimbangan sewajarnya dalam menangani perkara ini,” ujar beliau.

Sebelum ini, laporan Bloomberg mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan yang dikaitkan dengan taktik pengambilalihan korporat dengan memfailkan aduan kepada SPRM bagi memberi tekanan kepada syarikat sasaran.

Susulan pendedahan tersebut, pemimpin kerajaan dan pembangkang serta beberapa pertubuhan masyarakat sivil menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan berkenaan secara bebas dan menyeluruh.