
KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long, menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil memberi penjelasan berhubung serbuan ke atas beberapa premis miliknya baru-baru ini, meskipun beliau mendakwa sudah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Saya sudah memberi keterangan penuh kepada PDRM, selain direman selama tiga hari di bawah Pasukan Petugas Khas, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) sebelum dibebaskan selepas tempoh berkenaan tamat.
Pasukan petugas berkenaan juga maklum mengenai lokasi keberadaan saya dan mempunyai saluran untuk menghubungi saya pada bila-bila masa. Justeru, mengapa masih ada keperluan untuk menyerbu rumah saya?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Victor Chin turut mempersoalkan tindakan berulang pihak berkuasa terhadap dirinya.
“Pihak berkuasa manakah pula yang akan datang seterusnya, dan berapa banyak lagi agensi yang akan terbabit dalam perkara ini?” ujarnya.
Semalam, PDRM mengesahkan serbuan bersama Suruhanjaya Sekuriti (SC) di beberapa premis milik Victor Chin di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang, Jumaat lalu. Serbuan itu dilakukan bagi membantu siasatan kes di bawah AMLA. Antara yang dirampas ialah dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai dalam mata wang tempatan dan asing, selain dokumen berkaitan siasatan.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan Kabinet mengarahkan beberapa agensi penguat kuasa termasuk PDRM, SC, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan siasatan terperinci berhubung isu manipulasi korporat.
Victor Chin menegaskan tindakan menyerbu kediamannya mewujudkan suasana tidak sihat susulan pelbagai tuduhan yang disifatkan tidak berasas.
“Kediaman saya diserbu sebagai sebahagian daripada siasatan sedang dijalankan. Dalam operasi terbabit, tiga kenderaan milik syarikat saya bersama beberapa harta dan barangan berharga lain disita,” katanya.
Beliau turut memaklumkan melantik firma guaman Krish Maniam & Co Advocates & Solicitors bagi mewakili dirinya.
“Pelantikan peguam ini bagi memastikan kebenaran dapat diketengahkan sewajarnya. Semua bukti dan dokumen sokongan menunjukkan saya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti didakwa ‘Mafia Korporat’ akan diserahkan kepada pihak peguam selepas Khamis ini,” jelasnya. - 17 Mac, 2026
The post Kes mafia korporat: Victor Chin persoal serbuan PDRM ke premis miliknya appeared first on Scoop.
