Didakwa Lakukan Amang Seksual, Pemandu Bas Menangis Di Kandang Tertuduh

LocalPolitics
10 Sep 2024 • 1:59 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Didakwa Lakukan Amang Seksual, Pemandu Bas Menangis Di Kandang Tertuduh

Seorang pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid perempuan sekolah rendah sebagai orang kesayangan atau ‘crush’ telah didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Muar, hari ini.

Menurut Sinar Harian, tertuduh yang berusia 24 tahun menangis di kandang tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan anak suadaranya bagi maksud seksual.

Difahamkan, perbuatan terbabit dilakukan kira-kira jam 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual.

Ini berlaku antara pukul 5 hingga 6 petang di dalam bas sekolah di alamat yang sama, bulan ini.

Perbuatan itu menyebabkan tertuduh telah melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Raya Negeri, Abdul Ghafar Ab Latif telah mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Hujahnya, ini kerana kes berkenaan adalah serius dan mendapat perhatian umum.

Selain itu, ia sekali gus menerima pelbagai komen yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap tertuduh.

Kata Abdul Ghafar lagi, disebabkan salah seorang mangsa juga adalah anak saudaranya, pihaknya memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa serta kakak dan ibunya yang juga saksi pendakwaan.

Dalam pada itu, peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Di samping itu, mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes serta serahan dokumen pada 10 Oktober ini.

Sumber: Sinar Harian