Didakwa Perdaya Lembaga Pengarah, Bekas CEO FIC Mengaku Tak Bersalah

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 12:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Didakwa Perdaya Lembaga Pengarah, Bekas CEO FIC Mengaku Tak Bersalah

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Investment Corporation (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dua pertuduhan memperdaya lembaga pengarah syarikat itu berhubung pelantikan pemaju projek serta penilaian 24 lot tanah milik FELDA, 12 tahun lalu.

Mohd Zaid, 55, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad.

“Tidak bersalah, saya minta dibicarakan,” katanya ketika berdiri di dalam kandang tertuduh.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Zaid didakwa memperdaya lembaga pengarah FIC dengan menyebabkan mereka percaya Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Rakan Penyampaian Projek–Pemaju Induk (Project Delivery Partner–Master Developer) bagi cadangan pembangunan komersial di atas tanah FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Dia didakwa mengetahui bahawa syarikat berkenaan hanya layak dilantik sebagai Rakan Penyampaian Projek–Perancang Induk (Project Delivery Partner–Master Planner).

Perbuatan itu didakwa menyebabkan lembaga pengarah FIC meluluskan pelantikan Synergy Promenade sebagai Rakan Penyampaian Projek–Pemaju Induk bagi pembangunan berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Zaid didakwa memperdaya lembaga pengarah FIC berhubung nilai pasaran 24 lot tanah milik FELDA.

Dia didakwa menyebabkan lembaga pengarah percaya Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd melaporkan nilai pasaran RM330.96 juta bagi 24 lot berkenaan, sedangkan dia didakwa mengetahui nilai sebenar yang dilaporkan adalah RM691.7 juta.

Mohd Zaid turut didakwa mengelirukan lembaga pengarah dengan menyebabkan mereka percaya Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) memberikan nilai indikatif RM180 juta bagi 24 lot tanah berkenaan, sedangkan dia didakwa mengetahui JPPH tidak pernah memberikan penilaian sedemikian kepada FIC.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan lembaga pengarah FIC menerima tawaran daripada Synergy Promenade yang menetapkan Pulangan Minimum Dijamin (Minimum Guaranteed Return, MGR) sebanyak RM500 juta atau 10 peratus daripada Nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value, GDV), mengikut mana yang lebih tinggi.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di bilik mesyuarat lembaga pengarah FIC, Aras 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, masing-masing pada 16 Januari dan 29 April 2014.

Mohd Zaid didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Abd Razak memohon jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain memohon mahkamah memerintahkan Mohd Zaid menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam bela Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

Beliau berkata Mohd Zaid juga pernah menjadi saksi pendakwaan bagi pihak SPRM sebanyak dua kali, termasuk dalam kes membabitkan bekas Pengerusi FELDA, Datuk Seri Isa Samad.

“Anak guam saya juga dijadualkan menunaikan umrah dari 4 hingga 14 November dan urusan perjalanan itu telah dibayar pada Julai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya pasport Mohd Zaid diserahkan selepas anak guamnya pulang daripada menunaikan umrah.

“Saya juga memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan atau dua penjamin dikenakan sebagai ganti jumlah jaminan yang tinggi,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Rosli menetapkan jumlah jaminan RM60,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Zaid menyerahkan pasportnya serta melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Kes berkenaan berkaitan dakwaan mengenai pengurusan 24 lot tanah milik FELDA di Jalan Semarak serta perkara yang berlaku susulan cadangan pembangunan komersial di tapak berkenaan. - Getaran, 29 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved