Didakwa Tak Bayar Cendol & Terlibat Kes Langgar Lari, Kereta Dikejar Sekumpulan Motosikal

Entertainment
29 Sep 2023 • 12:56 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Semalam viral di media sosial X, video yang dimuat naik oleh akaun @AsalGombak menunjukkan kekecohan yang berlaku di kawasan Batu Caves. Sebuah kereta Nissan Almera telah dikejar oleh sekumpulan motosikal di sepanjang Jalan Gombak dari Taman Sri Gombak ke Sentul Point.

Di awal video tersebut, empunya video berkata kereta terbabit telah melanggar lari beberapa buah kereta dan motosikal di sepanjang jalan itu. Menurut rakaman dashcam oleh mangsa yang lain, kereta itu juga telah merempuh beberapa kereta yang sedang berhenti di jalan raya.

image is not available

Selain kes langgar lari, dikatakan pemandu dan penumpang kereta itu tidak membayar pesanan cendol mereka.

Dari jalan raya ke kawasan perumahan, sekumpulan motosikal telah menekan hon selain cuba mengejar kereta itu. Ada penunggang motosikal yang menghentak helmetnya sehingga cermin belakang kereta itu pecah.

Kenderaan itu kemudian difahamkan telah berhenti di tengah jalan ketika masuk ke jalan raya yang menghala ke Kepong. Pemandu terbabit walau bagaimanapun telah melarikan diri dan penumpangnya masih ada di dalam kereta.

Pemilik video itu segera turun daripada motosikal lalu merampas kunci kereta sementara menunggu pihak berkuasa sampai ke tempat kejadian.

Usaha sekumpulan motosikal tidak terhenti di situ sahaja apabila mereka berjaya menangkap pemandu kereta terbabit yang sedang melarikan diri di arah yang bertentangan.Tidak lama selepas itu, seorang polis trafik telah datang ke tempat kejadian sebelum suspek dan saksi diarah untuk ke balai polis berdekatan.

Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, pihak mereka telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.05 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut telah melanggar sebelah kiri motosikal jenis Yamaha LC135 yang sedang berhenti di lampu isyarat sebelum melanggar bahagian kiri kereta Proton Saga.

Menurut kenyataan, sehingga kini pemandu kereta terbabit belum tampil membuat laporan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.