
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, polis memaklumkan telah menerima laporan berkaitan kes penipuan penjualan tanah lot kurniaan yang membabitkan kerugian sebanyak RM1.5 juta yang dipercayai melibatkan seorang pelakon wanita serta suaminya.
Jelas Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim laporan tersebut dibuat oleh seorang lelaki berusia 56 tahun pada 7 Januari yang lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, siasatan lanjut juga masih dilakukan serta beberapa tindakan awal telah diambil kerana kedua-dua individu dipercayai tidak berada di Semenanjung Malaysia.
Pelakon drama ‘Nur’ dan suami ditahan reman, didakwa tipu penjualan tanah
Terbaharu, pelakon wanita yang pernah membintangi drama ‘Nur’ bersama suaminya telah ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk direman bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan berkenaan.
“Nanti tulis apa yang betul ya, tak sahih cerita jangan tulis. Terima kasih,” ujar aktres wanita itu kepada wartawan.
Sebelum ini pasangan suami isteri itu telah ditahan di sebuah madrasah tahfiz Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada 4 Februari.
Menurut Azahar, pasangan berkenaan telah dibawa ke mahkamah itu untuk mendapatkan permohonan reman.
“Susulan satu laporan polis berkait kes penipuan yang dibuat di daerah ini, polis menahan pasangan suami isteri masing-masing berusia 40-an dan 30-an di tempat persembunyian mereka.
“Pasangan ini ditahan di sebuah premis di Hulu Langat, Selangor,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Reman selama tiga hari, mangsa ditipu dalam urusan dapatkan tanah kurniaan kerajaan Negeri Selangor
Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah telah membenarkan tempoh reman selama tiga hari ke atas pasangan berkenaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis juga meminta ruang supaya siasatan dilakukan dengan telus dan orang awam diminta tidak membuat spekulasi.”
Mengulas berhubung kes itu, Azahar memaklumkan mangsa berusia 56 tahun merupakan ahli perniagaan yang juga sebelum ini melakukan perniagaan pembangunan hartanah.
“Mangsa disyaki ditipu rakannya dalam urusan untuk mendapatkan tanah kurniaan kerajaan negeri Selangor.
“Pengadu menyatakan pada 21 September 2023 ditawarkan oleh seorang lelaki untuk mendapatkan beberapa lot tanah di negeri Selangor yang terletak di mukim Cheras yang mana sebelum ini dijanjikan akan mendapat tanah berstatus kurniaan kerajaan negeri Selangor.
“Pengadu mula berurusan dengan suspek dan membuat beberapa kali transaksi,” jelasnya lagi.
Kata Azahar lagi, lelaki berkenaan kemudian memberikan akaun bank bapa dan isterinya untuk menerima bayaran transaksi terbabit. Ia adalah untuk proses mendapatkan lot tanah yang telah dijanjikan sebanyak RM1.5 juta.
Usahawan dakwa jadi mangsa penipuan pelakon wanita dan suami
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial apabila seorang usahawan produk kecantikan mendakwa telah menjadi mangsa penipuan seorang pelakon wanita dan suami sehingga mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.
Usahawan itu turut mendakwa terdapat beberapa lagi individu yang telah menjadi mangsa kepada pasangan berkenaan dengan melibatkan kerugian yang besar.


