Didik anak sayangi al-Quran sejak kecil

LocalFamily & Parenting
7 Mar 2026 • 1:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Usaha membentuk masyarakat kembali kepada al-Quran perlu bermula dengan pendidikan sejak usia kanak-kanak, selaras dengan semangat penganjuran World #QuranHour yang menekankan pembinaan manusia berteraskan kitab suci serta sunnah.

KOTA BHARU - Usaha membentuk masyarakat kembali kepada al-Quran perlu bermula dengan pendidikan sejak usia kanak-kanak, selaras dengan semangat penganjuran World #QuranHour yang menekankan pembinaan manusia berteraskan kitab suci serta sunnah.

Pengasas Rumah Ngaji UmmiJa Sayang al-Quran Seawal Usia (SASU), Tuan Fariza Tuan Roslli berkata, pihaknya menyokong penuh penganjuran program berkenaan yang disifatkan mampu menyemarakkan budaya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan.

Menurut beliau, tema World #QuranHour pada tahun ini yang menekankan pembentukan manusia sebelum membina dunia amat bertepatan dengan usaha mendidik generasi agar menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

"Manusia seharusnya dibentuk dengan acuan al-Quran dan sunnah sejak awal usia supaya lahir generasi yang berakhlak serta berpegang kepada nilai Islam," katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Rumah Ngaji UmmiJa giat melaksanakan pelbagai aktiviti baca, faham dan amal al-Quran kepada masyarakat pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak, remaja, dewasa serta warga emas.

Katanya, antara program yang dijalankan ialah Quranic Playgroup untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun, program fasilitator muda untuk remaja serta kelas bimbingan al-Quran Amazing Iqra kepada wanita dewasa dan warga emas.

"Selain itu, kami turut mengadakan usrah tadabbur al-Quran kepada wanita dewasa serta warga emas. Ia bagi membantu mereka memahami kandungan al-Quran dengan lebih mendalam," katanya.

Menurut beliau, bagi kanak-kanak khususnya, pendekatan pembelajaran dirangka secara lebih kreatif dan menyeronokkan bagi menarik minat mereka mendekati al-Quran.

Tambahnya, antara modul yang digunakan dalam Quranic Playgroup ialah tadabbur ayat-ayat akhlak Qurani menggunakan kaedah SASU.

"Program ini turut menggabungkan pendekatan Quranic STEM yang mengaitkan ayat al-Quran dengan aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik melalui eksperimen serta aktiviti kraftangan.

"Kami juga melaksanakan aktiviti tafakkur alam dengan membawa anak-anak meneroka alam sekitar melalui perkhemahan, kembara alam, aktiviti survival dan gotong-royong membersihkan kawasan," katanya.

Menurut Tuan Fariza, pendekatan itu bertujuan membantu kanak-kanak memahami peranan manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab menjaga alam sekitar.

Menurutnya, konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya menjadi asas dalam usaha menerapkan nilai al-Quran kepada generasi muda.

"Kami percaya anak-anak yang diberi pendedahan awal tentang baca, faham dan amal al-Quran akan lebih terbimbing, hidup lebih teratur serta terpelihara daripada anasir negatif apabila meningkat usia remaja," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap program seperti World #QuranHour dapat terus diperluaskan bagi menyemarakkan lagi kecintaan masyarakat terhadap al-Quran serta menjadikannya sebagai panduan utama dalam kehidupan.