johardy17/06/2026 - 18:54 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Jun - Harga minyak diesel diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 17 hingga 24 Jun 2026 selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), susulan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu terdahulu, menurut Kementerian Kewangan.
Menurut kementerian itu, perkembangan terkini konflik di Asia Barat yang menunjukkan tanda-tanda ke arah penyelesaian berkekalan telah menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.
Bagaimanapun, Kerajaan MADANI menjelaskan masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh menghalang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras sebelum tercetusnya konflik.
Antara risiko tersebut ialah ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya serta kemungkinan rundingan damai gagal mencapai penyelesaian muktamad.
Dalam keadaan itu, tanggungan subsidi kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan.
Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 dianggarkan mencecah kira-kira RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula diunjurkan sekitar RM1.5 bilion sebulan.

Subsidi kekal tinggi walaupun harga reda
Kerajaan MADANI menegaskan akan terus memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan operasi sektor tertentu terpelihara melalui bantuan serta subsidi bersasar, di samping mengurus perbelanjaan fiskal secara berhemat dalam persekitaran pasaran global yang masih tidak menentu.
Menurut kenyataan itu, walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, rakyat diseru supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan pada masa sama mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan.
Di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.
Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa iaitu RM3.72 seliter, penggunaan sebanyak 200 liter akan menelan kos RM744.
Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung subsidi sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95.
Namun, dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya perlu membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh yang dibenarkan.
BUDI95 ringankan beban pengguna
Sementara itu, harga diesel tanpa subsidi sebanyak RM4.37 seliter adalah lebih dua kali ganda berbanding harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter.
Menurut kerajaan, langkah itu bertujuan mengurangkan impak kenaikan harga diesel terhadap rakyat menerusi kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.
Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan mengurus perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhati-hati dalam melindungi rakyat daripada turun naik harga bahan api.
Pada masa sama, kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api negara akan terus dipastikan kekal mencukupi dan terjamin. - DagangNews.com





