
Harga diesel di Semenanjung turun sebanyak 30 sen seliter iaitu daripada RM4.67 seliter kepada RM4.37 seliter.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), harga baharu itu berkuat kuasa bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun.
Dalam pada itu, harga RON97 dan RON95 pula tidak mengalami sebarang perubahan.
MOF berkata harga baharu diesel itu selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
"Kerajaan MADANI memandang positif perkembangan terkini dalam konflik di Asia Barat, khususnya tanda-tanda ke arah penyelesaian yang berkekalan.
"Perkembangan ini telah menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.
"Namun begitu, masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras prakonflik.
"Ini termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya, serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad," katanya.

Tambah MOF lagi, dalam keadaan ini, tanggungan subsidi Kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan.
Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan.
Trump Dakwa Selat Hormuz Buka Semula Jumaat Ini
Harga Minyak Naik Akibat Krisis, Anwar Tegur Tindakan Politikkan Isu Minyak
"Kerajaan MADANI akan terus memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan operasi sektor tertentu terpelihara melalui bantuan dan subsidi bersasar, di samping mengurus perbelanjaan fiskal secara berhemat dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
"Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
"Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi," katanya lagi.






