Digantung daripada UMNO, Hishammuddin tampil beri kenyataan

Politics
28 Jan 2023 • 3:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar dikongsikan Hishammuddin menerusi hantaran di Instagramnya pada Sabtu.

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein buat pertama kalinya tampil mengeluarkan kenyataan pada Sabtu, sehari selepas beliau digantung keahliannya daripada UMNO pada Jumaat.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden berkongsikan kenyataan ringkas menerusi hantaran di Instagramnya dipercayai merujuk kepada perkembangan terkini itu.

“Their evil must not make us lose our good (kejahatan mereka tidak boleh membuat kita hilang kebaikan yang dimiliki),” katanya sambil turut berkongsikan sebuah gambar menunjukkan beliau sedang menenangkan seorang wanita dipercayai ahli UMNO yang sedang menangis.

Walaupun tidak menyatakan sebarang nama atau mana-mana kumpulan di dalam UMNO, kenyataan Hishammuddin itu difahamkan merujuk kepada blok pemimpin parti yang berpihak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut memberikan reaksi terhadap hantaran tersebut di ruangan komen ialah bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang merupakan individu diumumkan dipecat selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan pada malam Jumaat.

Menurut Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan, beliau tidak menyangka terpaksa mengalami keadaan tersebut bersama Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan itu selepas bertahun-tahun bersama dalam UMNO.

“But as i said, it;s not the end. It is far from the end (Tetapi seperti yang saya katakan, ia bukan penghujungnya. Ia jauh daripada penghujungnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, UMNO Sembrong dijadualkan akan mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat khas di Rumah UMNO Bahagian Sembrong di Johor pada jam 6 petang Ahad.

Selain Hishammuddin, beberapa pemimpin lain turut digantung keahlian selama enam tahun ialah bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.