
Dihalang Masuk, Rakyat Palestin Tunai Solat Aidilfitri Sedekat Mungkin Dengan Masjid Al-Aqsa
Buat pertama kali sejak 1967, Masjid al-Aqsa ditutup pada penghujung Ramadan, ketika ketegangan meningkat dalam kalangan rakyat Palestin susulan tindakan pihak berkuasa Israel mengekalkan penutupan kompleks tersebut, sekali gus memaksa jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri sedekat mungkin dengan kawasan yang ditutup.
Memetik The Guardian, pada pagi Jumaat, ratusan jemaah terpaksa menunaikan solat di luar masjid itu selepas polis Israel menghalang laluan masuk ke kawasan berkenaan.
Atas alasan keselamatan berkaitan perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran, pihak berkuasa Israel secara efektif menutup kompleks masjid di Baitulmaqdis kepada kebanyakan jemaah Islam sepanjang Ramadan.
Langkah itu digambarkan sebagai tindakan keselamatan susulan ketegangan yang semakin memuncak dengan Iran, menyebabkan ribuan rakyat Palestin terpaksa berkumpul dan beribadah di luar pintu Kota Lama.
Namun, rakyat Palestin menyifatkan langkah tersebut sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas Israel untuk menggunakan alasan keselamatan bagi mengetatkan sekatan serta mengukuhkan kawalan ke atas kompleks al-Aqsa, yang dikenali sebagai al-Haram al-Sharif oleh umat Islam dan turut merangkumi Kubah Batu (Dome of the Rock) yang dibina pada abad ketujuh.
“Esok akan menjadi hari paling menyedihkan bagi jemaah Islam di Baitulmaqdis,” kata Hazen Bulbul, 48, seorang penduduk yang sejak kecil menyambut akhir Ramadan di Masjid al-Aqsa.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, penahanan terhadap jemaah Palestin serta petugas agama di Kota Lama meningkat secara ketara, selain pencerobohan berulang oleh peneroka Israel ke dalam kompleks tersebut.
Polis turut menahan individu di dalam kawasan masjid termasuk ketika waktu solat, serta mengehadkan akses kepada ramai rakyat Palestin.
Kota Lama yang lazimnya sesak dengan orang ramai menjelang Aidilfitri kelihatan lengang pada Jumaat, dengan jalan-jalan sunyi daripada kebiasaan.
Peniaga Palestin juga dihalang membuka kebanyakan premis, hanya farmasi dan kedai makanan asas dibenarkan beroperasi.
Baca juga:Para peniaga menyatakan sekatan tersebut menyebabkan mereka berdepan kesukaran ekonomi yang serius.
Ketegangan turut memuncak sekitar jam 6 pagi apabila pasukan Israel menghalang jemaah daripada memasuki Kota Lama melalui Pintu Herod, selain dipercayai menggunakan bom gegar untuk menyuraikan orang ramai.

Susulan itu, Khatib Masjid al-Aqsa dan bekas Mufti Besar Baitulmaqdis, Sheikh Ekrima Sabri, mengeluarkan fatwa menggesa umat Islam menunaikan solat Aidilfitri di lokasi paling hampir dengan masjid tersebut.
Dengan kehadiran keselamatan yang ketat di lorong-lorong Kota Lama serta pemeriksaan dilakukan ke atas penduduk, ramai bimbang penutupan masjid pada hari terakhir Ramadan boleh mencetuskan pertembungan dengan polis.
Penutupan itu turut dikecam Liga Arab yang menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan berisiko menjejaskan kebebasan beribadah serta meningkatkan ketegangan serantau.
