Dikaitkan pengambilan pekerja asing? Saravanan nafi salah laku, kesal tuduhan tak berasas SPRM!

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 7:40 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan kesal dengan tuduhan tidak berasas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengaitkan dirinya dengan proses pengambilan pekerja asing.

Bekas Menteri Sumber Manusia itu menegaskan beliau tidak pernah terlibat secara peribadi dalam pengambilan pekerja asing, termasuk membabitkan mana-mana ahli keluarganya, sepanjang memegang jawatan berkenaan.

Menurutnya, nota Jemaah Menteri pada 13 April 2022 turut menjelaskan bahawa Menteri Sumber Manusia tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pengambilan pekerja asing.

Beliau berkata, proses pengambilan pekerja asing ketika itu dilaksanakan menerusi sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS), manakala pusat sehenti khas (OSC) membabitkan pelbagai kementerian diwujudkan bagi mempercepatkan proses berkenaan.

“Dalam tempoh saya berkhidmat sebagai Menteri Sumber Manusia, segala permohonan pengambilan pekerja asing dibuat menerusi sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS).
“Mana-mana syarikat yang ingin mengambil pekerja asing hanya boleh membuat permohonan menerusi sistem berkenaan sebelum pemilihan syarikat yang layak menghadiri sesi temu duga dibuat secara automatik,” katanya dalam surat yang diutus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Image from: Dikaitkan pengambilan pekerja asing? Saravanan nafi salah laku, kesal tuduhan tak berasas SPRM!

Saravanan berkata, selepas sistem membuat pemilihan, senarai berkenaan akan dipanjangkan kepada OSC di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Saya sebagai menteri tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai syarikat-syarikat yang memohon dan dipilih untuk menghadiri sesi temu duga,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa syarikat terbabit tidak layak mengendalikan urusan temu duga pengambilan pekerja asing di peringkat KSM sekiranya tidak melepasi saringan sistem FWCMS.

Dalam pada itu, Saravanan mendakwa dua individu, Syed Amirul dan Siva Ganesan, yang ditahan pada Ogos 2022 berkaitan proses pengambilan pekerja asing telah dipaksa membuat pengakuan tanpa rela bagi mengaitkan namanya.

Menurutnya, walaupun kes itu sebelum ini telah selesai tanpa sebarang siasatan terhadapnya, isu sama kini dibangkitkan semula meskipun Syed Amirul telah meninggal dunia pada 28 Julai 2026.

Image from: Dikaitkan pengambilan pekerja asing? Saravanan nafi salah laku, kesal tuduhan tak berasas SPRM!

“Kini, pihak SPRM dilihat cuba meneruskan tindakan terhadap saya pada ketika saksi utama tidak wujud lagi,” katanya.

Saravanan berkata, beliau telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Perdana Menteri sejak November 2025 berhubung perkara itu dan diberikan jaminan bahawa tiada tindakan akan dikenakan terhadapnya.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila SPRM didakwa secara tiba-tiba memulakan tindakan undang-undang atau siasatan terhadap dirinya.

“Kes ini jelas tidak berasas dan wajar dihentikan serta-merta demi memelihara integriti semua pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau turut mendakwa tiada rampasan wang tunai atau bahan bukti material yang dikaitkan dengannya, selain tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada mana-mana pegawai kerajaan.

Image from: Dikaitkan pengambilan pekerja asing? Saravanan nafi salah laku, kesal tuduhan tak berasas SPRM!

Saravanan sekali lagi menegaskan bahawa kuasa meluluskan pengambilan pekerja asing bukan berada di tangannya dan beliau tidak mengenali mana-mana pemohon yang dinamakan dalam pertuduhan.

Katanya, sepanjang proses berkenaan juga tiada sebarang bentuk komunikasi berlaku antara beliau dengan Syed Amirul atau mana-mana individu lain yang dikaitkan dengan kes itu.

Justeru, Saravanan mendakwa tindakan terhadapnya merupakan satu bentuk penganiayaan dan mempunyai motif jahat daripada pihak agensi kerajaan, sambil menyatakan keyakinan bahawa Perdana Menteri menyedari perkara berkenaan.

Sumber: Sinar Harian (Nurul Hidayah Hamid)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved