
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui sebagai seorang manusia kita sentiasa disaran dan dinasihatkan untuk melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja.
Malah kita dapat melihat orang ramai melakukan kebaikan dengan memberikan bantuan dengan pelbagai cara.
Sebagai contoh ada yang membantu orang dalam kesusahan dengan memberikan wang, sumbangan keperluan, makanan dan banyak lagi secara tersembunyi mahupun terbuka di media sosial.
Semua perkara itu dilakukan tanpa mengharapkan balasan daripada insan berkenaan bahkan cukuplah sekadar hanya Tuhan yang mengetahui kebaikan yang dilakukan itu.
Tular 3 pemuda bagi nasi dan tulang ayam KFC kepada gelandangan hingga raih perhatian
Baru-baru ini tular satu video di media sosial memaparkan tindakan tiga pemuda yang memberikan makanan kepada seorang lelaki gelandangan.
Namun apa yang mengejutkan adalah tiga pemuda itu dilihat memberikan nasi dengan sisa tulang ayam kepada gelandangan terbabit.
Menerusi video yang tular, awalnya kelihatan tiga pemuda itu telah berkunjung ke restoran makanan segera terkenal, KFC untuk menikmati ayam goreng bersama-sama.
Namun usai menikmati hidangan tersebut mereka telah memasukkan sisa tulang ke dalam sebungkus nasi.
Bungkusan yang berisi nasi dan tulang ayam itu kemudiannya dibawa keluar sebelum diberikan kepada gelandangan berkenaan yang sedang tidur di hadapan sebuah restoran.
Tindakan itu nyata mendapat kecaman orang ramai sehingga ada yang menyifatkan ia satu tindakan tidak wajar, biadap dan merendah-rendahkan orang susah.
Bukan hanya itu, ramai juga yang meminta agar tindakan bersesuaian turut dikenakan kepada tiga pemuda berkenaan.
Pemuda tampil beri penjelasan selepas video tular
Sedar video menjadi bualan, salah seorang daripada pemuda itu kemudiannya tampil menjelaskan cerita dari pihaknya.
Menerusi satu video yang dikongsikan di Instagram, lelaki yang dikenali sebagai @aluk_77 berkata, video yang tular itu menyebabkan ramai menyangka mereka hanya memberikan nasi dan tulang ayam gelandangan itu.
Namun sebaliknya mereka ada memberikan dua ketul ayam baru bersama nasi.
“Kami tidak memberikan tulang ayam itu kepada gelandangan. Pada awalnya kami mengikuti lelaki gelandangan berkenaan. Sepakat untuk membuat video, kami kemudiannya memberikan dia (gelandangan) makanan yang lengkap dari KFC nasi dan dua ketul ayam kepada gelandangan tersebut,” ujarnya dalam video itu.
Dakwa ia hanya lakonan, turut mohon maaf kepada orang ramai berhubung video
Dalam video sama, pemuda itu turut menunjukkan foto makanan lengkap dalam satu kotak yang sebenarnya diberikan kepada gelandangan terbabit.
“Faktanya, niat kami dari awal cuma mahu membantu masyarakat dengan memikirkan kami memberinya makan tulang ayam dan kami mengikutinya. Kami memberitahu gelandangan itu bolehkah jika dia berlakon dengan kami, dia juga setuju.
“Jadi kami berlakon untuk merakam video. Yang sebenar tiada tulang ayam diberikan kepadanya sebaliknya kami memberiknya makanan baru (tidak disentuh).
“Tolong beri kami peluang, untuk membantu masyarakat. Kami akan melakukan lebih banyak kebaikan nanti untuk membantu gelandangan. Saya benar-benar mohon maaf kepada semua.”
Penjelasan tak redakan kemarahan, netizen sifatkan ia perbuatan b*doh
Video penjelasan itu bagaimanapun mendapat reaksi yang negatif daripada netizen Malaysia.
Tanpa mengira bangsa, majoriti sepakat dan berpendapat dia sengaja mencetuskan kontroversi semata-mata untuk mendapatkan perhatian orang ramai.
Malah ramai terus mengkritiknya dan berpendapat kandungan sebegitu tidak seharusnya dihasilkan kerana mereka hanya mengeksploitasi golongan terpinggir seperti gelandangan untuk tujuan meraih tontonan.
Berikut adalah komen netizen:
“Semalam muat naik konten tak bagus. Hari ini minta maaf dan jelaskan. Kebaikan bukan seperti ini. Ia bukan seperti ini..”

“Sangat tidak boleh diterima. Masyarakat ini sudah melalui kesukaran, awal melakukan konten yang tidak sepatutnya…”

“Awak pergi minta maaf dengan gelandangan tu. Bagi dia duit belanja selama sebulan! Kalau betul awak nak buat konten tolong orang susah. Bukan nak publisiti murahan! Jangan hina orang susah!”

“Pointnya bukan awak berikan dia ayam atau tidak. Ia adalah bagaimana awak boleh fikir idea konten untuk berikan tulang ayam kepada gelandangan..”


