
Dilapor Hilang, Isteri Sahkan Faizal Ahmad Ditemui Selamat
Isteri kepada Faizal Ahmad, jurutera yang dilaporkan hilang lebih tujuh hari, mengesahkan bahawa suaminya itu telah ditemui selamat.
Nurul Ain Muhammad Mudzafar, 39, berkongsi maklumat tersebut menerusi laman Facebooknya.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kerana sudi membuat hebahan berkenaan berita kehilangan suami saya.
“Saya ingin memaklumkan bahawa suami telah selamat dijumpai dan hal ini telah diselesaikan di balai bersama pihak polis.
“Atas sebab-sebab peribadi dan hal keluarga, saya tidak dapat berkongsi dengan lebih lanjut tentang kes ini.
“Tapi, saya ingin mengesahkan bahawa suami berada dalam keadaan yang selamat,” kongsinya.
Dalam pada itu, Nurul Ain turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam hebahan berita kehilangan suaminya itu.
“Saya juga ingin meminta jasa baik rakan-rakan media untuk mengemas kini artikel untuk menyampaikan perkembangan terkini.
“Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakyat Malaysia dan rakan-rakan media yang sudi menghebahkan berita ini sehingga suami saya berjaya ditemui.
“Jasa kalian amatlah saya hargai,” tulisnya.
Terdahulu, Faizal yang merupakan jurutera dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Panji, Kota Bharu, dilaporkan hilang setelah keluar bekerja lebih dari seminggu lalu.
Faizal memberitahu bahawa dia perlu bekerja di luar kawasan dan akan pulang dalam tempoh dua atau tiga hari.
Bimbang akan keselamatan suaminya yang hilang tanpa khabar dan tidak dapat dihubungi, Nurul Ain akhirnya melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Sumber: Sinar Plus
The post Dilapor Hilang, Isteri Sahkan Faizal Ahmad Ditemui Selamat appeared first on Siakap Keli.


