‘Dimakan’ Kak Engku, saya cuma hormat hos senior – Keanu Azman

LocalEntertainment
23 Aug 2026 • 11:24 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Dimakan’ Kak Engku, saya cuma hormat hos senior – Keanu Azman

SHAH ALAM – Sedar dihujani dengan pelbagai kecaman, pengacara Keanu Azman memohon maaf sekiranya caranya mengendalikan konsert minggu pertama Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES26) semalam mengundang rasa kurang senang penonton.

Bergandingan dengan hos versatil, Raja Azura atau Kak Engku, Keanu, 29, berkata, setiap masalah yang berlaku sepanjang mengacarakan KES26 adalah disebabkan dirinya dan tidak sesekali menyalahkan pihak lain.

“Saya minta maaf atas segala kekhilafan dan kelemahan sebab tahu hari ini banyak kekurangan. Dengan produser juga saya sudah mohon maaf secara peribadi.

“Saya juga sudah cuba yang terbaik dengan Kak Engku yang banyak membantu memberi tip sepanjang program berlangsung. Kalau ada berlaku kesilapan, bukan salah Kak Engku, sebaliknya disebabkan kekurangan saya sendiri.

“Saya tahu masih perlu belajar banyak perkara, tambahan pula ini pertama kali mengacara di pentas besar, jadi gemuruh itu memang tak tahu nak gambarkan macam mana,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

Katanya, dia juga menerima pesanan daripada beberapa individu agar tidak membuka media sosial bagi mengelak dirinya membaca komen-komen negatif segelintir pihak mengenai gaya pengacaraannya.

Dia bahkan menerima setiap kritikan dan kecaman netizen terutama dalam media sosial dengan berlapang dada.

“Sejujurnya selepas tamat program, saya terima banyak mesej menerusi WhatsApp dan ada yang minta saya jangan buka Threads.

“Tapi sebenarnya, saya terima dengan hati terbuka setiap komen yang membina. Kepada yang mengecam, mereka saya anggap ‘haters’.

“Saya ambil semua komen itu sebagai pengajaran dan akan berusaha untuk buktikan bahawa pengacara Gen Z juga boleh beradaptasi dengan dunia otai-otai yang bertanding,” katanya lagi.

Jelasnya, dia tidak terasa hati sekiranya ada pihak melemparkan sebarang komen negatif dalam media sosial.

Keanu bahkan berterima kasih kepada Raja Azura kerana banyak memberi bimbingan sebelum dan sepanjang program berlangsung.

“Kalau komen negatif, saya tidak terasa. Sepertinya perkara tersebut membantu terutama saya yang sangat baru dalam bidang ini.

“Jika ada yang cakap menyampah dengan cara saya, sebaik-baiknya tidak perlu layan. Mereka adalah ‘haters’,” ujarnya.

“Apa pun, saya berharap dan percaya semua ini akan menjadi lebih baik pada minggu-minggu seterusnya, insya-Allah,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai dakwaan membiarkan dirinya ‘dimakan’ rakan gandingan kerana kurang ‘mencelah’ penyampaian Raja Azura, Keanu menegaskan tindakan tersebut adalah disebabkan rasa hormat terhadap hos senior.

“Orang kata saya sengaja biarkan diri ‘dimakan’ Kak Engku tetapi hakikatnya situasi tersebut lebih kepada saya seorang junior yang menghormati hos senior.

“Sebab pada awalnya saya tak tahu sama ada kalau mencelah Kak Engku, seperti biadab pula, jadi saya biarkan dia habis dulu. Kalau bercakap, orang kata saya kurang ajar pula.

“Nak wujudkan keserasian memang ambil masa tetapi saya yakin dengan kerjasama Kak Engku, dia banyak bantu susun setiap perkara yang kami perlu lakukan di pentas,” kongsinya.

Terdahulu, penampilan Keanu sebagai pengacara KES26 semalam menerima pelbagai kritikan dan kecaman seperti mendakwa dia ‘dimakan’ Raja Azura sepanjang mengemudi program tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Dimakan’ Kak Engku, saya cuma hormat hos senior – Keanu Azman appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved