Diogo Jota Tinggalkan Harta Lebih RM116 Juta Untuk Isteri, Anak-anak

LocalFootball
8 Jul 2025 • 9:30 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Diogo Jota Tinggalkan Harta Lebih RM116 Juta Untuk Isteri, Anak-anak

Keluarga bintang bola sepak Liverpool, Diogo Jota, bakal mewarisi harta peninggalan bernilai lebih AS$27.5 juta (sekitar RM116 juta) selepas pemain itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya tragis di Sepanyol minggu lalu.

Jota, 28, dan abangnya, Andrew Silva, maut selepas kenderaan mewah Lamborghini yang dinaiki mereka terbabas di utara Sepanyol. Insiden itu telah mengundang kesedihan mendalam buat keluarga, rakan-rakan dan dunia bola sepak antarabangsa.

Lebih memilukan, Jota baru sahaja berkahwin dengan cinta zaman kecilnya, Rute Cardoso, hanya beberapa hari sebelum tragedi. Pasangan itu dikurniakan tiga anak kecil yang kini menjadi waris kepada seluruh peninggalan Jota.

Anggaran harta Jota dianggarkan sekitar AS$27.5 juta hingga hampir AS$30 juta, berdasarkan maklumat umum yang dikongsi oleh portal Celebrity Net Worth dan The Richest, lapor News.com.au.

Nilai sebenar tidak didedahkan secara rasmi, namun Jota dipercayai mengumpul kekayaan hasil gaji, penajaan, serta pelaburan lain sepanjang kariernya.

Sejak berpindah ke England pada 2018 bersama Wolverhampton Wanderers, karier Jota melonjak dan kemudiannya menyertai Liverpool pada 2020 dengan kontrak bernilai tinggi.

Sepanjang lima musim di Liverpool, beliau menjaringkan 65 gol dalam 182 perlawanan dan membantu pasukan merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2024–2025, dua Piala EFL dan satu Piala FA.

Pendapatannya dilaporkan mencecah AS$15.2 juta setahun di Liverpool. Secara keseluruhan, jumlah pendapatan Jota daripada bola sepak dianggarkan sekitar AS$54 juta.

Beliau turut menjalin kontrak penajaan dengan jenama sukan Nike dan menceburi dunia permainan video secara profesional melalui pelaburan dalam e-sukan.

Selain itu, Jota memiliki koleksi kereta mewah, sebuah kediaman bersama Cardoso di Liverpool serta sebuah vila di Lisbon, Portugal.

Bahkan, kontraknya bersama Liverpool masih berbaki dua tahun lagi.

Beberapa laporan media Portugal menyatakan Liverpool mungkin akan meneruskan pembayaran kontraknya kepada balu dan anak-anaknya, namun perkara itu masih belum disahkan secara rasmi.

Di bawah undang-undang pewarisan United Kingdom, harta pusaka Jota berkemungkinan dikenakan cukai pusaka sebanyak 40 peratus sekiranya nilai melebihi AS$680,000.

Walau bagaimanapun, cukai tersebut tidak dikenakan jika keseluruhan harta ditinggalkan kepada isterinya.

Dalam pada itu, polis Sepanyol dijangka mengeluarkan laporan penuh berhubung punca kemalangan dalam masa terdekat.

Sumber: News.com.au