Dipecat Daripada BERSATU, Fahmi Ucap Takziah Kepada Wan Saiful

LocalPolitics
3 Nov 2025 • 7:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini menerima ucapan takziah, susulan pemecatannya daripada BERSATU.

Menyampaikan ucapan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut mencadangkan Wan Saiful menghasilkan sebuah filem berdasarkan pengalamannya.

Bercakap pada penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, Fahmi turut menasihati Wan Saiful agar terus bersabar menghadapi ujian tersebut yang disifatkan sebagai ‘sangat besar’. 

“Pertama sekali, saya ingin ucapkan ‘takziah’ dan berharap Tasek Gelugor kekal sabar dalam menghadapi ujian yang sangat besar ini.

“YB seorang yang sangat baik dan tidak sepatutnya dilayan sebegini. Saya berharap keadilan akan berpihak kepada YB,” katanya.

Ucapan itu menerima penghargaan Wan Saiful yang kemudian mendedahkan, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga akan hadir di hadapan Lembaga Disiplin BERSATU Khamis ini.

Fahmi menyampaikan ucapan berkenaan selepas memberi laluan kepada Wan Saiful, yang membangkitkan kebimbangan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART), khususnya terhadap pelesenan penyiaran dan potensi impaknya terhadap negara.

Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin BERSATU menamatkan keahlian Wan Saiful serta menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk satu penggal berhubung isu akuan bersumpah yang didakwa berkaitan usaha mendesak Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan 1,521 permintaan kepada penyedia platform untuk menurunkan kandungan berunsur lucah atau sangat tidak senonoh yang melibatkan kanak-kanak, sejak 1 Januari 2022 hingga 15 Oktober tahun ini.

Katajya, 96 peratus atau 1,456 kes berjaya diturunkan.

“MCMC melaksanakan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta undang-undang berkaitan lain.

“Sebagai pengawal selia industri, MCMC mengambil pendekatan menyeluruh bagi memastikan kandungan berbahaya dapat dikawal sambil melindungi golongan rentan, khususnya remaja dan kanak-kanak,” katanya.

Tambah beliau, MCMC akan mewajibkan penyedia perkhidmatan pemesejan internet dan media sosial memperoleh lesen Pembekal Perkhidmatan Aplikasi Kelas C (ASP Kelas C) di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025.

Fahmi juga memaklumkan mengenai pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) oleh kerajaan bagi memperkukuh keselamatan digital di Malaysia.

“Akta ini bertujuan mengawal selia kandungan berbahaya dan menetapkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan aplikasi berlesen, penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan, serta penyedia perkhidmatan rangkaian.

"Pada masa ini, MCMC sedang membangunkan 10 peraturan subsidiari di bawah Akta 866 bagi memperincikan tanggungjawab penyedia perkhidmatan berlesen dalam menguruskan ancaman dalam talian,” katanya. - Getaran, 3 November 2025