
KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘tidak lagi layak dan sesuai’ untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.
Pandangan itu disuarakan dua Ahli Parlimen Bersatu iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung parti dan Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang dipecat dari parti berkenaan, dalam apa yang disifatkan sebagai serangan luar biasa terhadap kepimpinan parti Bersatu.
Kedua-duanya mendakwa Muhyiddin membuat keputusan yang lemah, mengamalkan pilih kasih terhadap sesetengah pemimpin dan sengaja melemahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sehingga menyebabkan Perikatan Nasional (PN) menjadi lemah.
Kritikan keras itu dibuat dalam podcast Trick Lama pada Selasa, yang dikendalikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru), dan Ketua Pengarang Scoop, Terence Fernandez.
“Saya minta maaf, saya sayang Tan Sri Muhyiddin, beliau yang membawa saya ke dunia politik, tetapi beliau tidak lagi layak dan sesuai untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya,” tegas Wan Fayhsal, yang juga Ahli Parlimen Machang.

Menurutnya, parti dan gabungan PN memerlukan “wajah baharu” serta perubahan kepimpinan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, dengan memberi isyarat Muhyiddin kini menjadi liabiliti politik.
Wan Fayhsal mendedahkan penilaian ini turut dikongsi oleh sekutu utama PN iaitu PAS, di mana presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dua kali membuat kenyataan berselindung dengan menyatakan keutamaan kepada pemimpin berusia bawah 70 tahun dan bebas daripada kes mahkamah.
“Peluang tidak memihak kepadanya,” kata Wan Fayhsal, merujuk kepada isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan pencalonan Muhyiddin.

Senada dengan beliau ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful yang menegaskan momentum Bersatu hanya meningkat apabila Hamzah memainkan peranan yang lebih menonjol, berbeza dengan tempoh ketika pembangkang dianggap lemah di bawah kepimpinan keseluruhan Muhyiddin.
“Ketika orang berkata Perikatan Nasional lemah, yang memimpin waktu itu ialah Tan Sri Muhyiddin,” kata Wan Saiful.
“Tetapi apabila Datuk Seri Hamzah tampil ke hadapan dan mula menyusun gerakan kami di dewan rakyat… momentum meningkat. Tiba-tiba semangat (Muhyiddin) kembali, katanya ‘saya mahu jadi Perdana Menteri lagi’.”
Perbincangan itu menggambarkan pergolakan dalaman yang serius, yang digambarkan oleh Wan Fayhsal sebagai “pertarungan dua singa di gunung yang sama.”
Beliau mendakwa kuasa Hamzah sebagai ketua pembangkang sedang disabotaj secara sistematik oleh kelompok dalaman Muhyiddin.
“Setiap kali Ketua Pembangkang cuba bertegas, berdepan dengan Anwar (Ibrahim) secara langsung, beliau diingatkan oleh orang kanan Presiden: ‘anda bukan Ketua Perikatan Nasional, anda hanya Ketua Pembangkang di Parlimen’,” kata Wan Fayhsal.
Menurut mereka, sabotaj dalaman ini adalah sebab utama PN gagal berfungsi dengan berkesan sebagai pembangkang dalam memantau kerajaan.
Wan Fayhsal dan Wan Saiful, bersama empat lagi ketua bahagian, baru-baru ini digantung atau dipecat atas alasan salah laku disiplin oleh parti. namun mereka berpendapat tindakan itu sebenarnya hukuman kerana usaha mereka untuk memulihkan dan mengembalikan prinsip asal parti.
“Ini bukan soal peribadi,” tegas Wan Saiful.
“Kita tidak boleh menafikan jasa Tan Sri Muhyiddin kepada parti dan negara. tetapi yang kita bincangkan ialah bagaimana untuk melangkah ke hadapan.” – 23 oktober 2025
The post Muhyiddin ‘tidak layak’ jadi calon Perdana Menteri: Wan Fayhsal dan Wan saiful appeared first on Scoop.

