
Wanita dari Sibu mengalami kerugian lebih RM80K setelah terjerat Love Scam
Diperdaya ‘Oppa’ Dari Tinder, Wanita Dari Sibu Rugi Lebih RM 80K Akibat Terpedaya Love Scam. Dilaporkan, seorang wanita tempatan di sini kerugian RM86,841 selepas menjadi mangsa penipuan love scam.
Ketua Polis Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata mangsa, yang berusia dalam lingkungan 30-an, diperdaya oleh seorang lelaki yang dikenali melalui aplikasi Tinder sejak Jun lalu.

Suspek mengaku sebagai warganegara Korea Selatan
Menurutnya, suspek yang mengaku sebagai warganegara Korea Selatan berjanji untuk bertemu mangsa setelah permohonan visanya diluluskan pada awal Julai.
Beliau berkata dalam satu kenyataan hari ini, suspek juga mendakwa telah menghantar barangan kepada mangsa, tetapi barangan tersebut kononnya ditahan oleh pihak kastam Indonesia sebelum transit ke Malaysia.
Pada 25 Julai, mangsa dihubungi oleh seseorang yang menyamar sebagai pegawai kastam, meminta bayaran untuk mendapatkan sijil pelepasan agar barangan tersebut boleh dihantar ke Malaysia.
Gara-gara percaya, mangsa telah membuat 25 transaksi ke dalam lapan akaun tempatan, kata beliau lagi.

Sedar ditipu selepas membuat pembayaran RM86,841
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat pembayaran sejumlah RM86,841. Tambahan pula, mangsa tidak dapat lagi menghubungi suspek, menyebabkannya membuat laporan polis di balai polis berdekatan.
Zulkipli berkata, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya kepada individu yang dikenali melalui media sosial.
Jangan mudah percaya kepada janji-janji manis, terutama apabila melibatkan pemberian maklumat perbankan atau membuat pembayaran kepada pihak yang tidak dikenali,” tegas Zulkipli.
Untuk maklumat atau nasihat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Nasional (NSRC) di talian 997 atau melayari laman web Semak Mule di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.



