
Dalam sukan yang menuntut keseimbangan, kelincahan dan kawalan tubuh, fizikal sering dianggap antara faktor penting menentukan kemampuan seseorang atlet.
Bagi Wan Ayden Faiq Wan Azizul Fitri, tubuhnya yang berisi pernah menyebabkan ada pihak meragui kemampuannya melakukan aksi sukar dalam BMX Flatland.
Namun, remaja yang mesra disapa ‘Ayden Bambam’ itu memilih untuk menjawab keraguan tersebut bukan dengan kata-kata, sebaliknya melalui kemampuannya di atas basikal.
Pada usia 12 tahun, dia muncul juara BMX Flatland Lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, sekali gus membuktikan saiz tubuh bukan penghalang untuk berjaya dalam sukan diminatinya.
“Saya buktikan dengan melakukan aksi yang sukar dan menyertai pelbagai pertandingan sehingga berjaya menang untuk diamkan kata-kata orang,” katanya kepada Media Selangor.
Minat remaja itu terhadap BMX bermula sejak kecil selepas sering melihat bapanya, Wan Azizul Fitri Zulkifli, 46, bermain basikal berkenaan.
Daripada sekadar memerhati, dia mula mencuba sebelum mendapat dorongan bapanya untuk mempelajari pelbagai aksi asas BMX Flatland.
Perjalanannya bermula dengan basikal berharga sekitar RM250 sebelum peralatan itu ditambah baik secara berperingkat seiring perkembangan kemahirannya.
Bagi Wan Ayden Faiq, harga bukan ukuran utama kerana basikal perlu sesuai dengan tubuh dan selesa dikawal terutama ketika melakukan aksi teknikal.

BMX Flatland bukan sekadar menuntut keupayaan melakukan aksi menarik. Keseimbangan, kawalan tubuh, stamina dan pernafasan perlu bergerak seiring ketika atlet melakukan rangkaian aksi di atas basikal.
Justeru, remaja itu bukan sahaja berlatih BMX, malah menjalani latihan renang bagi membantu meningkatkan stamina dan kawalan pernafasan.
Usaha itu membuahkan hasil apabila dia mengumpul 86.33 mata untuk muncul juara pada temasya SUKMA edisi ke-22 pada 21 Ogos lalu.
Kemenangan tersebut hadir selepas saingan sengit dengan wakil Pulau Pinang yang meraih 81.33 mata, perbezaan hanya lima mata.
Lebih daripada pingat emas, kejayaan itu cukup bermakna kerana Ayden Bambam dapat membanggakan ibu bapanya yang sentiasa berada di belakang perjalanan sukannya.
“Memang gembira dapat membanggakan ibu bapa apabila dinobatkan sebagai johan. Mereka banyak menyokong saya sepanjang perjalanan dalam BMX.
“Selain itu, kedua-dua jurulatih saya, Nor Aszeril Mohd Nor dan Muhammad Saiful Ariff turut banyak membantu dan memberikan sokongan sepanjang saya menyertai pertandingan,” katanya.

Minat dipupuk sejak kecil
Bagi Wan Azizul, bentuk fizikal anaknya tidak pernah menjadi sebab untuk mengehadkan minat atlet Selangor itu.
Dia mula mendedahkan anaknya kepada video BMX sejak kecil sebelum melihat potensinya ketika berusia empat tahun.
Sejak itu, Wan Ayden Faiq diberikan ruang untuk mencuba dan membina keyakinan, manakala latihan dilakukan sekurang-kurangnya sejam sehari.
Hujung minggu pula digunakan untuk berlatih bersama komuniti BMX bagi membolehkannya belajar daripada penunggang lain dan menimba pengalaman.
“Minat Ayden dalam BMX lebih penting daripada kata-kata negatif orang luar. Saya sentiasa bimbing Ayden dan belajar bersama-sama dengannya untuk melakukan pelbagai aksi,” katanya.
Penyertaan dalam pertandingan turut menjadi sebahagian proses perkembangan Ayden Bambam. Setiap persembahan akan dinilai semula bagi mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki tekniknya.
Bagi lelaki itu, sokongan ibu bapa juga perlu melangkaui kata-kata semangat dengan kesediaan meluangkan masa dan memahami minat anak.
“Sokongan ibu bapa sahaja tidak cukup. Kita perlu jadikan minat anak itu sebagai satu komitmen untuk terus mendorong dan mengembangkan bakat mereka,” katanya.
Selepas menawan pentas SUKMA, Wan Ayden Faiq kini mahu menguji kemampuan di peringkat lebih tinggi menerusi FISE World Series di Shanghai, China pada 15 hingga 18 Oktober bagi kategori BMX Flatland Junior.
Dalam mengejar impian itu, pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas, Batu Caves itu tetap mahu memastikan pelajaran tidak terpinggir.
“Saya akan teruskan sukan BMX untuk masa depan, namun akademik tetap menjadi keutamaan,” katanya.

