
PEMERGIAN cahaya mata ujian berat buat ibu bapa. Bukan mudah untuk menerima kenyataan anak yang dikandung sembilan bulan, dilahirkan dan dibesarkan pergi dalam sekelip mata.
Demikian ujian yang perlu dihadapi ibu yang dikenali sebagai, Puteri Zana menghadapi kehilangan puteranya, Allahyarham Amir Ashraf. Tanpa sebarang petanda, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Paloh berkenaan meninggal dunia akibat pendarahan secara tiba-tiba di kepala serta paru-paru berair di asrama.
Pemergian Amir Ashraf pada Selasa, 12 Mei akan terus diingati. Reda dengan ketentuan Ilahi, ibu kepada empat cahaya mata itu berkongsi catatan pilu dan bersyukur berpeluang merasa kasih sayang daripada anak yang 'dipinjamkan selama 13 tahun itu sebelum 'pulang' ke alam abadi.
“Al-Fatihah untuk anak syurga umie. Umie simpan segala kenangan abe supaya umie boleh tengok selama-lamanya.

“Abe seorang anak yang bertanggungjawab, penyayang, sentiasa menjadi pendengar umie dan pemberi semangat buat umie.
“Ya ALLAH, tempatkan anakku di syurga-MU dalam kalangan orang-orang yang beriman. Aamiin.
“ALLAH pinjamkan Abe cuma 13 tahun," titipnya.
Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang anak yang sangat bertanggungjawab, penyayang dan sentiasa menjadi pendengar setia serta pemberi semangat dalam setiap ujian kehidupan yang dilalui.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo mendedahkan seorang pelajar Tingkatan Satu meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama.

Pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 8.53 pagi daripada bapa remaja berkenaan yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri di asrama sekolah terbabit.
Pelajar berkenaan kemudian dibawa pihak sekolah ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, pegawai perubatan di klinik berkenaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Susulan itu, pemeriksaan bedah siasat dijalankan pada jam 3.30 petang di Hospital Gua Musang sebelum mendapati punca kematian adalah akibat pendarahan spontan di bahagian kepala serta paru-paru berair.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sumber: Sinar Harian


