
LAHAD DATU: Kematian seorang pelajar kolej vokasional, Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, berpunca daripada perselisihan faham antaranya dan rakan asrama yang menuduhnya mencuri, menurut polis.
Ketua Polis Daerah, ACP Dr Rohan Shah Ahmad, berkata rakan asrama percaya Nazmie bertanggungjawab terhadap kehilangan RM50 dan RM35 daripada dua pelajar.
“Mangsa didakwa mencuri dan dipukul sehingga mati oleh semua suspek.
“Kami telah menahan 13 pelajar kolej berkenaan berumur antara 16 dan 19 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more “Mahkamah Majistret membenarkan semua suspek direman enam hari sehingga 29 Mac ini,” katanya.
Polis telah mendapatkan keterangan daripada 12 saksi, termasuk empat warden asrama, pengawal keselamatan dan beberapa pelajar.
Polis turut menjalankan ujian air kencing dan mendapati kesemua suspek bebas daripada penyalahgunaan dadah. Polis turut merampas 12 telefon pintar milik suspek.
“Kami sedang menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa dari Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk mengenal pasti punca kematiannya,” katanya.
Pada Jumaat, remaja berusia 17 tahun itu ditemui terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai salah sebuah bilik di asrama berkenaan. Dia disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Lahad Datu yang berada di tempat kejadian untuk rawatan kecemasan.
Siasatan polis mendapati terdapat kecederaan serta lebam pada badan mangsa. Susulan itu, 13 pelajar ditahan bagi membantu siasatan kes yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Keluarga kepada Mohammad Nazmie, sementara itu, meminta diberikan ruang ketika waktu yang sukar ini.
Keluarga mangsa yang ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Lahad Datu, dilihat masih dalam keadaan terkejut dan sukar menahan kesedihan ketika menunggu proses bedah siasat dijalankan.
“Buat masa ini kami tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan. Harap maklum,” jelas salah seorang ahli keluarga.
Kematian Mohammad Nazmie juga mengundang kemarahan pelbagai pihak. Berita yang dipaparkan di laman Facebook Daily Express turut dipenuhi dengan komen meminta agar hukuman setimpal dikenakan ke atas pelaku.
Masyarakat turut menzahirkan rasa sedih atas kejadian ini dan berharap agar keluarga mangsa tabah atas kehilangan mereka.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi kerjasama penuh berhubung siasatan tersebut.
Dalam kenyataan Sabtu, KPM memaklumkan pihaknya tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
“KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, pelajar Kolej Vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia pada Jumaat.
“Kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM bersedia memberi kerjasama penuh,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, KPM juga telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.
“Sokongan psikososial turut ditawarkan kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej,” menurut kenyataan itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
