Disangka Hilang, Budak 10 Tahun Rupanya Berjalan Ke Pusat Beli Belah

23 Jul 2024 • 5:53 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang pada mulanya disangka hilang dari sekolahnya, ditemui selamat dan berada di sebuah pusat beli-belah, di Johor Jaya.

Berjalan Ke Pusat Beli-Belah

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kanak-kanak lelaki itu dilaporkan hilang oleh ibunya selepas didapati tidak menaiki bas sekolahnya untuk pulang seperti biasa, pada Selasa.

"Ibu kanak-kanak lelaki berkenaan membuat laporan sebaik sahaja anak lelakinya dikesan tidak menaiki bas sekolahnya seperti biasa.

"Siasatan dan pencarian di tempat berkaitan laluan pulang kanak-kanak dari sekolah segera dilakukan sepasukan polis sebaik menerima laporan ibunya.

"Kanak-kanak itu akhirnya telah ditemui dalam keadaan selamat oleh anggota polis serta ibunya yang menyertai pencarian di sebuah pusat beli belah di Johor Jaya pada jam 4.30 petang tadi.

"Kanak-kanak itu mengakui berjalan kaki dari sekolahnya ke pusat beli belah itu sejauh kira-kira tiga kilometer," katanya.

Terdahulu, kehilangan kanak-kanak itu tular apabila ahli keluarganya berkongsi mengenai insiden berkenaan.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kanak-kanak itu yang memakai pakaian seragam sekolah berwarna putih dan berseluar biru gelap, yang dilihat berjalan seorang diri turut disertakan dalam notis kehilangannya yang tular.

Kehilangan kanak-kanak itu menyusul selepas kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui yang hilang di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini, Sabtu lalu, menggemparkan negara.

Bagaimanapun, Albertine Leo, dilaporkan diculik, berjaya ditemui di satu lokasi di Batang Kali, Selangor dalam keadaan selamat.

Sumber: Harian Metro