
KUALA LUMPUR - Operasi mencari seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Sira, Padawan, Sarawak awal pagi tadi berakhir dengan kejadian mencuit hati apabila mangsa ditemui sedang nyenyak tidur di sebelah mesin basuh di rumah jirannya.
Kehilangan lelaki tersebut pada mulanya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga, selepas dia gagal pulang ke rumah sebaik selesai menghadiri majlis perkahwinan berkenaan.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 4.39 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan ke lokasi kejadian.
Dua anggota bomba yang menaiki sebuah kenderaan utiliti Toyota Hilux tiba di kampung tersebut pada jam 5.14 pagi bagi menjalankan penilaian awal dan membuat persiapan untuk operasi pencarian.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan abang ipar kepada pengadu, terlebih dahulu menghadiri majlis perkahwinan di sebuah gereja di kampung itu pada malam sebelumnya.
“Mangsa dipercayai keluar dari kawasan majlis untuk membuang air selepas makan dan minum, namun gagal dikesan selepas itu,” katanya.
Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapatkan maklumat daripada ahli keluarga dan penduduk kampung sebagai persediaan untuk melancarkan operasi pencarian bersama pihak polis serta penduduk setempat.
Bagaimanapun, sebelum operasi itu dimulakan sepenuhnya, mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung kira-kira jam 6 pagi.
Menurut jurucakap berkenaan, mangsa ditemui dalam keadaan selamat, sedang nyenyak tidur di sebelah sebuah mesin basuh di rumah jirannya.
Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan atau masalah kesihatan.
Susulan penemuan itu, operasi pencarian ditamatkan secara rasmi pada jam 6.09 pagi.
Kejadian tersebut sekali gus mengakhiri kebimbangan ahli keluarga serta penduduk kampung, yang akhirnya mampu menarik nafas lega. - Getaran, 30 Mei 2026
