KUCHING – Kebimbangan sebuah keluarga yang menyangka seorang lelaki hilang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Sira, Padawan awal pagi tadi berakhir apabila individu terbabit ditemui selamat sedang tidur di rumah jiran.
Kehilangan lelaki berkenaan pada mulanya mencetuskan keresahan dalam kalangan ahli keluarga selepas dia gagal dikesan sejurus menghadiri majlis perkahwinan di kampung tersebut.
Situasi itu mendorong keluarga mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi menjalankan operasi pencarian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 4.39 pagi.
Menurutnya, sepasukan dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda kemudian digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 5.14 pagi.
“Hasil maklumat awal mendapati lelaki terbabit yang merupakan abang ipar kepada pengadu hadir ke majlis perkahwinan di sebuah gereja di kampung berkenaan pada malam sebelumnya.
“Selepas selesai menjamu selera, mangsa dipercayai keluar untuk membuang air kecil kira-kira lapan meter dari rumah saudaranya sebelum gagal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat lanjut berhubung kehilangan mangsa sebelum operasi pencarian dilaksanakan dengan kerjasama polis, ahli keluarga dan penduduk kampung.
Bagaimanapun, usaha mencari itu tidak mengambil masa lama apabila lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan selamat sekitar jam 6 pagi.
“Mangsa ditemukan oleh penduduk kampung ketika sedang nyenyak tidur di sebelah mesin basuh di rumah jirannya.
“Pemeriksaan mendapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Operasi pencarian kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.09 pagi.





