Disangka pendatang asing, rupanya warganegara Malaysia

26 Nov 2026 • 2:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Disangka pendatang asing, rupanya warganegara Malaysia
Mahkamah Tinggi bebaskan pemunggah barang daripada dipenjara lima bulan.

TAWAU - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membebaskan serta-merta seorang pemunggah barang yang sebelum ini dihukum penjara lima bulan atas kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen sah selepas lelaki itu disahkan sebagai warganegara Malaysia.

Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Tawau pada 20 Oktober lalu terhadap Azlanshah Mahathir, 24, selepas membenarkan permohonan semakan jenayah yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji.

Mahkamah turut memerintahkan supaya nama tertuduh yang sebelum ini direkodkan sebagai 'Azlan Shah Mahadir' diperbetulkan kepada nama sebenarnya dalam semua rekod mahkamah dan dokumen berkaitan.

Permohonan semakan jenayah itu dikemukakan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 323 dan 325 Kanun Tatacara Jenayah susulan pengesahan identiti serta status kewarganegaraan lelaki berkenaan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Berdasarkan permohonan itu, Jabatan Penjara Malaysia Tawau menerusi surat bertarikh 5 November lalu memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna mengenai hasil semakan cap jari biometrik tertuduh dengan JPN Daerah Tawau.

Hasil semakan itu mengesahkan lelaki berkenaan nama sebenarnya ialah Azlanshah Mahathir dan merupakan warganegara Malaysia, bukannya Azlan Shah Mahadir seperti yang direkodkan sebelum ini.

Susulan pengesahan tersebut, pihak pendakwaan menyatakan bahawa tertuduh tidak melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, sekali gus menjadikan pertuduhan dan sabitan terhadapnya tidak sah.

Sebelum itu, lelaki terbabit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau pada 20 Oktober lalu atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa memiliki pas masuk sah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 10 Akta Imigresen 1959/63.

Mahkamah ketika itu menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula tarikh dia tangkap pada 11 Oktober lalu serta memerintahkan supaya dia dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.

Dia kemudiannya dibawa ke Penjara Pusat Tawau untuk menjalani hukuman berkenaan sebelum pihak pendakwaan mengemukakan permohonan semakan jenayah yang membawa kepada pembebasannya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved