Diselar: Tindakan JANS terhadap pengguna pasang pam tambahan: ‘Selesai dahulu isu bekalan air’

LocalPolitics
5 Mar 2025 • 12:13 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diselar pihak kerajaan dan pembangkang kerana mengambil tindakan menghukum mereka yang memasang peranti tambahan untuk mendapat bekalan air berterusan.

Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Warisan mengatakan jabatan itu seharusnya terlebih dahulu menangani punca utama masalah bekalan air seperti pencurian air oleh pendatang tanpa izin, dan bukannya menghukum rakyat patuh undang-undang kerana memasang pam air tambahan untuk memastikan bekalan stabil.

Naib Ketua Pemuda SAPP Yong Yit Jee berkata Jabatan juga harus menaik taraf loji rawatan air dan menambah baik sistem saluran paip untuk memastikan air terawat dapat diagihkan dengan berkesan.

Beliau berkata Jabatan harus menggunakan pendekatan lebih berbelas kasihan dan praktikal.

“Bagi banyak penduduk luar bandar, pam air adalah keperluan, bukan kemewahan.

“Pam air sangat penting untuk memastikan bekalan air yang stabil di kawasan yang mengalamai tekanan air rendah secara kronik,” katanya.

Jabatan pada 3 Mac mengeluarkan notis satu bulan kepada orang awam mengenai pemasangan dan penggunaan pam air yang betul.

Menurutnya, di bawah Seksyen 56 Enakmen Bekalan Air 2003, mana-mana pengguna yang mengubah sistem paip mereka untuk mendapatkan bekalan air melebihi jumlah ditetapkan adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda sehingga RM10,000.

Selain itu, Peraturan 41 Peraturan-Peraturan Bekalan Air 1961 menetapkan bahawa tiada pam atau peralatan yang boleh mengubah tekanan air boleh dipasang atau dioperasikan tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah JANS. Ini bermakna pam air tidak boleh dipasang selepas meter air berdaftar.

Yong berkata, tidak semua isi rumah mampu membeli tangki air, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang sukar ketika ini apabila keperluan asas pun membebankan kewangan banyak keluarga.

Tambahan pula, juru paip harus memainkan peranan yang bertanggungjawab dengan menasihati pemilik premis mengenai keperluan undang-undang untuk

pemasangan pam.

“Tidak cukup hanya dengan memasang pam; juru paip mesti memastikan permit atau kelulusan yang diperlukan daripada JANS diperoleh terlebih dahulu. Ini akan membantu mengelakkan pelanggaran yang tidak disengajakan dan memastikan pematuhan undang-undang,” katanya.

Ketua Penerangan Warisan Kota Kinabalu Samuel Wong berkata, walaupun keperluan untuk peraturan difahami, isu utama adalah kegagalan jabatan memastikan tekanan dan ketersediaan air yang stabil.

“Banyak tempat di Sabah, termasuk kawasan komersial dan kediaman menghadapi tekanan air tidak mencukupi, memaksa penduduk mencari penyelesaian sendiri, menyebabkan mereka berisiko menghadapi akibat undang-undang.

“Siapa pula akan memilih untuk memasang pam tambahan jika bekalan air sentiasa lancar dan bertekanan baik?” tanya Wong.

Beliau menekankan kesukaran yang dihadapi oleh mereka yang tinggal di kawasan tinggi dan tingkat lebih tinggi, di mana kebolehcapaian air terus menjadi cabaran penting.

Sambil menyokong hukuman tegas untuk sambungan air haram, Wong berkata terdapat perbezaan besar antara pencuri air dan penduduk patuh undang-undang yang membayar bil air mereka secara tetap, tetapi perlu membeli peralatan tambahan untuk mendapatkan bekalan boleh dipercayai.

“Kita perlu menghukum dengan berat kecurian air sambil mengambil maklum bahawa rakyat kita ini dihukum secara tidak adil dan tidak langsung kerana terpaksa membeli peralatan tambahan untuk bekalan stabil,” katanya.

Sebaliknya, Warisan menggesa agar usaha dipertingkatkan untuk menangani kecurian air yang mungkin memburukkan lagi isu tekanan air rendah.

Beliau menggesa Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya dan Pengarah Jabatan Air, Quirine Tan, menunjukkan empati.

“Memahami penderitaan rakyat adalah penting sebelum membuat keputusan yang memberi kesan. Undang-undang tersedia untuk membimbing dan melindungi, tetapi ia juga mesti menampung realiti keperluan penduduk,” katanya.